izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Semalam merupakan hari terakhir George W. Bush berkhidmat sebagai Presiden Amerika Syarikat. Selepas 8 tahun pemerintahan, akhirnya Bush terpaksa melepaskan jawatannya sesuai dengan perlembagaan AS yang membenarkan seseorang menjadi Presiden AS selama dua penggal sahaja. Sebagai Presiden AS yang ke-43, rakyat dunia memerhatikan bahawa tidak banyak legasi kejayaan yang ditinggalkan oleh beliau. Di sana-sini, sentimen kebencian terhadap Bush dan AS meningkat, terutama dikalangan komuniti Muslim. Perang yang dilancarkan beliau ke atas Afghanistan dan Iraq yang beralasankan untuk memerangi keganasan cukup mencalarkan imej Amerika dan dirinya di mata dunia. Ditambah lagi dengan krisis ekonomi AS dan dunia yang berlaku sekarang ini, semua ini menggambarkan betapa gagalnya pemerintahan Bush selama dua penggal.



Jika pemimpin-pemimpin lain menamatkan pemerintahan dengan kejayaan dan dikenang sebagai hero, Bush mengakhiri pemerintahannya dengan insiden-insiden yang cukup memalukan. Kegagalan mengemukakan bukti bahawa Iraq menyimpan senjata nuklear dan pemusnah merupakan titik-titik awal kepada insiden-insiden tersebut. Apa yang pasti, insiden beliau dibaling sepasang kasut oleh seorang wartawan Iraq akan menjadi kenang-kenangan yang mungkin sukar dilupakan Bush sendiri. Dan baru-baru ini, pendedahan Perdana Menteri, Ehud Olmert tentang desakannya ke atas Bush supaya menghentikan resolusi PBB ke atas Israel berkenaan dengan isu Palestin, walaupun resolusi itu sendiri pada awalnya dicadangkan oleh AS, menambahkan lagi senarai insiden-insiden yang menjatuhkan kredibiliti Bush sebagai pemerintah negara paling berkuasa di dunia.

Cukuplah Bush, habiskan sisa-sisa hidup anda dengan sebaik-baiknya. Anda terlau banyak mencipta kegagalan. Dunia sudah tidak memerlukan anda lagi.

Barack Hussein Obama



Kini, kerusi tertinggi AS beralih kepada Barack Hussein Obama. Segala kegagalan pentadbiran terdahulu kini dipikul beliau. Seorang lelaki yang mencipta rekod sebagai Presiden AS kulit hitam yang pertama, begitu mengagumkan masyarakat AS dan dunia dengan karisma dan kepetahannya berucap. Walaupun beliau sendiri menjadi mangsa diskriminasi perkauman di AS pada masa dahulu, tetapi langsung beliau tidak membangkitkan isu tersebut semasa kempennya. Satu strategi yang bijak untuk menarik undi dari kalangan orang kulit putih AS. Masyarakat dunia pula, semenjak dari awal kemunculannya sebagai calon Demokrat, seolah-olah sudah mengiktiraf Obama sebagai Presiden AS. Begitu banyak harapan yang disandarkan kepada beliau.

Bersandarkan kepada ucapan pertamanya (klik di sini) sebagai pemimpin AS, jelas tergambar besar cita-citanya untuk menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih aman, mengatasi kegawatan ekonomi global, dan yang paling penting, memperbaiki imej AS yang tercalar teruk di mata dunia. Namun, harapan mungkin hanya tinggal harapan, sekiranya beliau tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengotakan janji-janjinya. Tahun-tahun mendatang akan menyaksikan samaada beliau mampu melaksanakan tugas-tugasnya dengan baik ataupun tidak. Bukan setakat rakyat AS, tetapi seluruh dunia akan memerhatikan dan menilai beliau.

Bagi penulis sendiri, Obama mungkin dapat memerintah lebih baik daripada Bush, namun begitu, perubahan besar-besaran yang diimpikan masyarakat dunia mungkin tidak tercapai, terutamanya berkaitan dengan dasar AS terhadap isu Palestin dan orang-orang Islam yang dianggap sebagai pengganas. Tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi,takut nanti akan merana kecewa sendiri. Entahlah, sama-samalah kita saksikan sendiri hasil pemerintahannya nanti.

Selamat berkhidmat, Obama. Semoga anda berjaya.

1 comments:

adakah obama akan meneruskan harapan semua warga dunia yg bukan berkulit putih? atau akan terus ditekan oleh pembuat2 polisi amerika yg menekan kaum lain?

[IMG]http://i76.photobucket.com/albums/j13/glacius_25150/obama.jpg[/IMG]

Post a Comment