izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Artikel ini disiarkan bersempena dengan kempen "Mari Bersembahyang Berjemaah" yang dianjurkan oleh Biro Kerohanian dan Islamisasi pelajar tahun akhir Kulliyyah Farmasi UIAM.

Subuh Itu Satu Ujian

Sebuah hadis merakamkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya, solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya' dan Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak." (Riwayat Ahmad dan an-Nasa'i)

Secara sedar atau tidak, sebagai orang Islam, kita sebenarnya disuakan dengan sebuah ujian yang amat berat setiap pagi. Solat Subuh. Kenapa? Tidak dinafikan, solat Subuh sememangnya solat wajib yang paling sedikit jumlah rakaatnya. Hanya dua rakaat. Mungkin cuma mengambil masa tidak sampai 2 minit untuk menunaikannya.

Namun, solat Subuh manjadi satu tanda aras tahap keimanan seseorang. Menjadi ujian kepada tahap kejujuran seseorang. Harus diingat, solatnya wajib dikerjakan pada waktu awal pagi, satu waktu yang sememangnya sangat enak untuk mengulit mimpi. Ditambah lagi dengan julat waktunya yang sempit, sekadar dari terbit fajar sampai terbit matahari. Sangat berat ujiannya, sehinggakan tidak ramai yang berjaya melengkapkan kewajipan ini dengan sempurna.

Agak-agaknya, daripada statistik 1.5 bilion umat Islam seluruh dunia, berapa ramai yang setiap harinya diluangkan masa untuk menunaikan solat Subuh? Daripada jumlah ini, berapa ramai pula yang bangkit mengerjakannya dalam waktunya? Dan, berapa ramai pula yang menunaikannya di awal waktu, bukan di pengakhiran waktunya? Dan, berapa ramai pula yang menyahut laungan azan Subuh lalu sanggup meredah kesejukan pagi menuju ke masjid atau surau bagi mengerjakannya secara berjemaah? Sesuatu yang pasti, jumlahnya semakin berkurang, bukan?!

Apabila ditanya, pelbagai alasan yang diberi. Letih, tuntutan kerja yang membebankan, sukar untuk bangun, tak tersedar; alasan-alasan lapuk yang sering dikumandangkan. Sebenarnya, adalah pelik apabila ada orang yang mengatakan, "Susah bagi saya untuk bangun solat Subuh awal-awal. Saya letih, selalu tidur lambat. Nak bangun awal, bukannya senang. Tapi, janganlah bimbang, saya sembahyang juga akhirnya. Cuma lambat sedikit." Seolah-olahnya solat Subuh itu sesuatu yang remeh.

Tetapi, cuba berada dalam suasana yang berikut. Bayangkan, majikan tempat bekerja menyuruh kita datang awal pagi untuk satu tugasan penting, jika gagal hadir, kemungkinan akan dipecat. Ataupun, seorang pelajar diminta menduduki peperiksaan penting di awal waktu pagi, jika gagal hadir, sia-sialah semester yang dijalani. Adakah kita akan bersikap sambil lewa? Semestinya kita akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi tuntutan sebegitu, bukan? Bayangkan juga ketika di suatu awal pagi, tiba-tiba ada pengumuman dibuat menyatakan seorang hartawan hendak membahagikan duitnya yang banyak kepada orang ramai, adakah kita akan melepaskan peluang sebegini? Tidak, pastinya terkocoh-kocoh kita berlari mendapatkan wang yang ditabur itu. Bayangkan juga ketika di suatu awal pagi, ketika kita sedang enak tidur, di tempat kita berlakunya kebakaran. Bahangnya terasa membakar kulit. Adakah kita akan terus tidur membiarkan diri sendiri binasa dimamah api? Penulis jamin, semestinya kita akan lari menyelamatkan diri.

Cuba bandingkan di waktu Subuh yang lain. Jika dalam keadaan-keadaan yang dibayangkan tadi, kita boleh bingkas bangun hatta di waktu awal pagi untuk memenuhi tuntutan kerja dan peperiksaan. Kita sanggup meninggalkan tempat tidur kita mendapatkan duit harta yang diberikan orang, ataupun menyelamatkan diri daripada kebakaran kerana tidak tahan kepanasan api dunia dan takut diri hangus terbakar. Tetapi, di waktu Subuh setiap pagi, mengapa sukar untuk kita bangun? Mengapa sukar untuk menunaikan solat Subuh di awal waktunya? Untuk menyahut seruan azan menunaikannya secara berjemaah di masjid atau surau? Menagapa kita bersikap sambil lewa? Adakah kerana tuntutan solat Subuh yang diperintahkan oleh Pencipta kita itu kurang pentingnya berbanding tuntutan kerja atau peperiksaan? Adakah kerana ganjaran yang dijanjikan Allah tidak seberapa? Adakah kerana panas dibakar api neraka kerana tidak menunaikan solat Subuh tidak sepanas api dunia?

Sesungguhnya, segala permasalahan yang terjadi berpunca daripada kelemahan kita sendiri. Segalanya kembali kepada iman, hati dan kemahuan kita yang lemah dan senang di carik robek hasutan syaitan. Jika kita punya iman yang kuat, hati yang bersih dan kemahuan yang tinggi, bangun di awal pagi untuk segera menunaikan solat Subuh bukanlah satu masalah yang besar. Semuanya berbalik kepada kita. Samaada kita mahu ataupun tidak.

Jika kita sering tidur lewat, mengapa tidak kita tidur awal supaya dapat bangun awal. Jika kita sering tidak terjaga dari tidur, mengapa tidak kita kunci jam atau alarm pada waktu yang sepatutnya? Ataupun berpesan pada rakan-rakan yang selalu bangun awal untuk mengejutkan kita? Selalulah berdoa kepada-Nya, insya Allah, perkara baik akan dipermudahkan-Nya. Yang penting, kuatkan tekad, ikhlaskan hati, hindari berbuat dosa di siang harinya kerana dosa boleh menompokkan titik-titik hitam di hati hingga menyukarkan kita untuk menerima seruan ke arah kebaikan.

Seorang penguasa Yahudi ada berkata, "Kami akan takut kepada umat Islam jika mereka melaksanakan solat Subuh sepertimana mereka melaksanakan solat Jumaat." Bilakah agaknya perkara ini akan menjadi kenyataan?

Islam itu indah, indahkan hidupmu dengannya.

Bersama-samalah kita berusaha mengindahkan hidup kita dengan keindahan Islam.

Wallahua'lam.

*Dipetik dan diringkaskan daripada 'Misteri Shalat Subuh" tulisan Dr. Raghib as-Sirjani, diterjemahkan daripada buku asalnya yang bertajuk "Kaifa Nuhafidzu 'alas Shalati Fajr".

*Penulis juga bukanlah seorang hamba-Nya yang taat. Masih terkapai-kapai mencari keredhaan dan kerahmatan-Nya.

Cuma terasa ingin berkongsi sebuah pengisian yang dibaca.

*Terima kasih kepada Abang Yazam, Ahli Farmasi dan Pengurus Farmasi Manir, kerana mengesyorkan dan sudi meminjamkan buku yang bermanfaat ini.

Artikel-artikel lain yang berkaitan:
Klik di sini
Klik di sini
Klik di sini