izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Kuatkan azam untuk memboikot

“Arghhh… McD****d dah kena boikot. Tak boleh ah nak pergi makan lagi lepas ni.” Penulis memberi respons semasa melihat satu poster kempen memboikot.

“Alah, rileks ah. Bukannya kau mati pun kalau tak makan kat situ. Boleh hidup lagi.” Rakan yang berada di sebelah membalas, tegas.

Kempen memboikot barangan Israel dan Amerika Syarikat yang dilancarkan secara besar-besaran sebagai membalas serangan ke atas Semenajung Gaza, Palestin baru-baru ini cukup memberi kesan kepada kehidupan banyak orang. Masakan tidak, banyak produk dan jenama yang disenaraikan seolah-olah sudah sebati dengan kehidupan seharian. Untuk meninggalkan dengan semerta, amatlah sukar untuk dilakukan. Di sinilah sebenarnya kita boleh menilai tahap sebenar keprihatinan kita terhadap penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin. Jika kita betul-betul ikhlas dan prihatin, menyertai kempen boikot sebegini pastinya satu tugas yang mudah untuk dilakukan.



Kebanyakan orang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya mempunyai banyak pilihan barangan dan jenama yang boleh dijadikan alternatif untuk menggantikan produk-produk yang diboikot. Tidak kiralah samaada produk makanan, alatan ataupun pakaian, pilihan alternatif sentiasa ada tersedia. Cuma masyarakat sahaja kurang menyedari kerana terlalu lama disogokkan dengan barangan yang sama sahaja, yang sebenarnya adalah ‘peluru’ dan ‘bom’ yang membunuh rakyat Palestin.

Jadi, apa yang diperlukan sekarang adalah keazaman dan keteguhan yang tinggi untuk mengambil bahagian dalam kempen boikot yang dilancarkan. Bukan setakat itu, apa yang lebih penting lagi sebenarnya adalah sifat istiqamah dan konsisten agar kempen yang diadakan dapat dilakukan untuk jangka masa yang panjang, supaya Israel dan Amerika dapat merasakan akibat tindakan mereka ‘membelasah’ orang-orang Islam.

Relevenkah memboikot?

Kenyataan seorang Pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dalam sebuah akhbar baru-baru ini menarik perhatian penulis. Mengikut katanya, kempen memboikot yang dilancarkan sekarang adalah sesuatu yang tidak rasional, tidak relevan. Alasannya, bukan sahaja ekonomi AS yang akan terjejas, tetapi ekonomi Malaysia akan turut menerima tempias yang sama. Ini kerana kebanyakan produk yang dikeluarkan adalah dengan hasil usaha niaga dengan pengusaha-pengusaha tempatan. Menguatkan lagi dakwaannya, beliau mengingatkan yang negara ini adalah negara membangun, yang ekonominya masih bergantung kepada kuasa-kuasa ekonomi seperti AS.

Tetapi, kalau difikirkan dengan lebih mendalam, kenyataan dikeluarkan sama sekali tidak tepat. Kempen boikot, sekiranya berjaya, akan mewujudkan ruang market yang baru, kerana pegguna akan mencari alternatif kepada barangan yang diboikot mereka. Pada masa inilah, peluang boleh diambil untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Walaupun ini mungkin satu tugas yang sukar, tetapi inilah jihad kita. Jihad untuk menguasai ekonomi sendiri, jihad untuk menguasai ilmu dan teknologi yang selama ini dikuasai oleh mereka. Memetik kata-kata seorang penceramah, “Mereka boleh jual ayam goreng sampai ke seluruh dunia, sampai kita sendiri pun menjilat jari makan ayam mereka. Jadi, apa kurangnya kita? Kalau mereka boleh buat, kenapa kita tidak?”

Wallahu ‘alam.


Semalam merupakan hari terakhir George W. Bush berkhidmat sebagai Presiden Amerika Syarikat. Selepas 8 tahun pemerintahan, akhirnya Bush terpaksa melepaskan jawatannya sesuai dengan perlembagaan AS yang membenarkan seseorang menjadi Presiden AS selama dua penggal sahaja. Sebagai Presiden AS yang ke-43, rakyat dunia memerhatikan bahawa tidak banyak legasi kejayaan yang ditinggalkan oleh beliau. Di sana-sini, sentimen kebencian terhadap Bush dan AS meningkat, terutama dikalangan komuniti Muslim. Perang yang dilancarkan beliau ke atas Afghanistan dan Iraq yang beralasankan untuk memerangi keganasan cukup mencalarkan imej Amerika dan dirinya di mata dunia. Ditambah lagi dengan krisis ekonomi AS dan dunia yang berlaku sekarang ini, semua ini menggambarkan betapa gagalnya pemerintahan Bush selama dua penggal.



Jika pemimpin-pemimpin lain menamatkan pemerintahan dengan kejayaan dan dikenang sebagai hero, Bush mengakhiri pemerintahannya dengan insiden-insiden yang cukup memalukan. Kegagalan mengemukakan bukti bahawa Iraq menyimpan senjata nuklear dan pemusnah merupakan titik-titik awal kepada insiden-insiden tersebut. Apa yang pasti, insiden beliau dibaling sepasang kasut oleh seorang wartawan Iraq akan menjadi kenang-kenangan yang mungkin sukar dilupakan Bush sendiri. Dan baru-baru ini, pendedahan Perdana Menteri, Ehud Olmert tentang desakannya ke atas Bush supaya menghentikan resolusi PBB ke atas Israel berkenaan dengan isu Palestin, walaupun resolusi itu sendiri pada awalnya dicadangkan oleh AS, menambahkan lagi senarai insiden-insiden yang menjatuhkan kredibiliti Bush sebagai pemerintah negara paling berkuasa di dunia.

Cukuplah Bush, habiskan sisa-sisa hidup anda dengan sebaik-baiknya. Anda terlau banyak mencipta kegagalan. Dunia sudah tidak memerlukan anda lagi.

Barack Hussein Obama



Kini, kerusi tertinggi AS beralih kepada Barack Hussein Obama. Segala kegagalan pentadbiran terdahulu kini dipikul beliau. Seorang lelaki yang mencipta rekod sebagai Presiden AS kulit hitam yang pertama, begitu mengagumkan masyarakat AS dan dunia dengan karisma dan kepetahannya berucap. Walaupun beliau sendiri menjadi mangsa diskriminasi perkauman di AS pada masa dahulu, tetapi langsung beliau tidak membangkitkan isu tersebut semasa kempennya. Satu strategi yang bijak untuk menarik undi dari kalangan orang kulit putih AS. Masyarakat dunia pula, semenjak dari awal kemunculannya sebagai calon Demokrat, seolah-olah sudah mengiktiraf Obama sebagai Presiden AS. Begitu banyak harapan yang disandarkan kepada beliau.

Bersandarkan kepada ucapan pertamanya (klik di sini) sebagai pemimpin AS, jelas tergambar besar cita-citanya untuk menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih aman, mengatasi kegawatan ekonomi global, dan yang paling penting, memperbaiki imej AS yang tercalar teruk di mata dunia. Namun, harapan mungkin hanya tinggal harapan, sekiranya beliau tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengotakan janji-janjinya. Tahun-tahun mendatang akan menyaksikan samaada beliau mampu melaksanakan tugas-tugasnya dengan baik ataupun tidak. Bukan setakat rakyat AS, tetapi seluruh dunia akan memerhatikan dan menilai beliau.

Bagi penulis sendiri, Obama mungkin dapat memerintah lebih baik daripada Bush, namun begitu, perubahan besar-besaran yang diimpikan masyarakat dunia mungkin tidak tercapai, terutamanya berkaitan dengan dasar AS terhadap isu Palestin dan orang-orang Islam yang dianggap sebagai pengganas. Tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi,takut nanti akan merana kecewa sendiri. Entahlah, sama-samalah kita saksikan sendiri hasil pemerintahannya nanti.

Selamat berkhidmat, Obama. Semoga anda berjaya.


UIAM Abaikan Konsep Islam

Namun pada ketika ini peraturan dan undang-undang yang diwujudkan itu semakin diabaikan oleh pelajar, malahan tiada penguatkuasaan terhadap pelawat yang tidak menutup aurat. Ini dapat dilihat pelajar-pelajar perempuan UIA hanya mengenakan tudung yang jarang, nipis dan amat singkat.



Pelawat yang datang juga hanya mengenakan pakaian paras lutut dan baju tanpa lengan, perkara ini dapat dilihat pada hari pendaftaran. Begitu juga pembekal yang menghantar barang ke dalam kampus.

Saya amat bimbang mengenai perkara ini sekiranya tiada tindakan yang diambil oleh pihak universiti. Jika perkara ini diabaikan lama-kelamaan UIA akan dipandang hina oleh masyarakat dan negara luar terutamanya negara-negara Islam.

Dipetik daripada kolum Surat Pembaca, Utusan Malaysia bertarikh 21 Januari, 2009
www.utusanmalaysia.com.my

monologase: Benar apa yang dikatakan olehmu, wahai pengirim surat.


Bandaraya Gaza: Sayap bersenjata pergerakan Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, berkata pejuang mereka berjaya memusnahkan dua kereta kebal Israel di penempatan Ash Sheikh Ajlin dan Zeitun semalam, ketika jumlah rakyat Palestin yang terkorban kini hampir menjangkau 1,000 orang.



Wartawan Al-Jazeera di Bandaraya Gaza melaporkan tentera Israel mula memasuki kawasan bandar di Tal al-Hawa pagi semalam, tetapi terpaksa berundur semula ke pinggir bandar berikutan serangan balas pejuang Palestin.

Beberapa orang saksi lain berkata, pasukan khas Israel sebelum itu cuba memasuki perkampungan Khuzaa di selatan Khan Yunis, berhampiran sempadannya, tetapi terpaksa berundur selepas diserang hendap.
Read more...

Berita disunting daripada Berita Harian, Rabu, 14 Januari 2009.
www.bharian.com.my


monologase: Alhamdulillah. Mungkin kejayaan ini dianggap kecil, tetapi sudah cukup untuk membangkitkan moral dan semangat umat Islam amnya, dan rakyat Palestin khususnya. Semoga Allah memberikan lebih banyak kemenangan. Sesungguhnya, janji Allah itu adalah pasti dan benar.

"Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu, `Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali, dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar’. Maka apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama dari kedua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka bermaharajalela di kampung-kampung, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana."
(Surah al-Isra': 4-5)



Bagi yang menonton Buletin Utama di TV3 malam tadi, semestinya ada menonton sedutan berita yang memaparkan sekumpulan penduduk Zionis Yahudi Israel yang berkonvoi motosikal dan berkumpul di kawasan sempadan Israel-Palestin untuk menyaksikan serangan yang dilakukan askar-askar mereka ke atas penduduk Palestin.



Dikala penduduk Palestin sengsara dihujani serangan yang bertali arus, penduduk Israel pula berpesta menyaksikan serangan yang dilakukan, seolah-olah sedang meyaksikan sebuah pesta, sebuah pertunjukan bunga api. Siap ada yang mengambil gambar untuk dijadikan kenang-kenangan. Langsung tiada sekelumit rasa belas pada kesengsaraan rakyat Palestin.

Seorang lelaki Yahudi yang ditemuramah mengatakan bahawa walaupun mereka terganggu dengan bunyi bising dan gegaran yang terhasil akibat serangan, tetapi baginya itu adalah ‘harga yang kecil’ yang perlu mereka bayar untuk menikmati ‘keamanan’ daripada serangan Hamas selepas ini. Seorang lelaki Yahudi yang lain pula mengatakan bahawa inilah masa untuk Israel menunjukkan kepada dunia bahawa mereka mempunyai keupayaan dan kuasa untuk bertindakbalas terhadap rakyat Palestin.

Inilah paparan realiti kesombongan dan keangkuhan rakyat Israel amnya, dan Zionis Yahudi khususnya. Kefahaman yang ditanam dalam diri mereka bahawa mereka adalah bangsa teragung di dunia menyebabkan mereka memandang rendah kepada bangsa-bangsa lain. Walhal mereka tidak sedar bahawa mereka sebenranya adalah bangsa yang banyak dihina di dalam al-Quran.

Laknat Zionis Yahudi.

Semoga Allah memberi kemenangan kepada Islam dan menundukkan Yahudi.

khaibar khaibar ya Yahud,
jaisyu Muhammad saufa ya’udd!



Mengikut kata Imam Nawawi, uzur solat itu hanya dalam dua keadaan, iaitu:
- jika kamu tertidur
- sekiranya kamu terlupa.

Maksudnya, jika seseorang itu tertinggal solat fardu disebabkan oleh kedua-dua situasi ini, dia terlepas daripada dosa meninggalkan solat. Tetapi, apabila bebas daripada kedua-duanya (terjaga daripada tidur atau teringat semula), maka wajib baginya untuk menunaikan solat fardu tersebut dengan kadar yang segera, dengan niat ‘ada’an’, bukannya ‘qadha’.



Bagi mereka yang dah bangun semasa masuk waktu, dan dengan sengaja menyambung tidurnya hingga habis waktu solat, alasan tertidur tidak boleh digunakan. Begitu juga bagi mereka yang dengan sengaja menangguhkan solat sehingga terlupa untuk menunaikannya. Bagi situasi-situasi sebegini, pelaku tersebut mendapat dosa meninggalkan solat dengan sengaja.

Namun begitu, sebagai umat Islam yang taat, janganlah kita selalu menjadikan tertidur dan terlupa sebagai alasan untuk kita melewatkan, atau meninggalkan solat. Contohnya, solat subuh. Janganlah kita terlalu kerap bangun lewat setiap pagi, hingga terlepas waktu subuh. Seharusnya, kita berusaha untuk sentiasa menunaikan solat di awal waktunya. Bukankah banyak fadhilatnya kalau bersolat di awal waktu?

Petikan dari program al-Kulliyyah: Solat Darurat, yang disiarkan pada hari Jumaat, 21 November 2008 di TV3, Inspirasi Hidupku



Assalamualaikum…

Akhirnya, setelah hampir dua bulan page blog ini disiapkan, akhirnya entry pertama dapat di poskan. Alhamdulillah, tercapai hajat untuk berblog. Entah kenapa, sekarang ni ramai dari kalangan rakan-rakan penulis yang membuat blog. Menjengah tahun 2009 ini saja pun, ada lebih kurang 5 orang yang dah mempunyai blog masing-masing. Satu perkembangan yang baik, senanglah untuk penulis, sebagai article reviewer yang tegar untuk mendapatkan bahan-bahan cerita dan pendapat-pendapat yang berbeza daripada rakan-rakan. Semoga blog boleh menjadi ruang bagi kita untuk sama-sama berkongsi cerita, pengalaman, suka-duka dan juga pendapat.

Palestin

Isu yang paling hangat buat masa sekarang semestinya tentang serangan Israel ke atas Palestin. Umum mengetahui, saban hari, Israel membedil kawasan Palestin, dengan alasan untuk menghapuskan ancaman kumpulan Hamas. Walhal, apa yang berlaku, banyak tempat-tempat awam, dan juga orang-orang awam yang menjadi sasaran. Realiti yang pahit untuk ditelan, kita sememangnya tidak berupaya untuk mendesak Israel supaya menghentikan serangan. Sedangkan kuasa-kuasa besar dunia seperti Perancis dan Russia pun tidak mampu menghalang, inikan pula kita, sebuah negara kecil yang ekonominya banyak bergantung kepada negara luar.

Tetapi, bukanlah bermakna kita harus membiarkan sahaja keadaan ini. Apa yang boleh kita lakukan, adalah dengan menghulurkan ‘sokongan’ dan ‘bantuan’ kepada Palestin. Demonstrasi dan protes boleh diadakan sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin, juga sebagai tanda benci kepada pengganas Zionis Israel. Bantuan seperti sumbangan kewangan atau barang-barang boleh dilakukan melalui saluran yang betul. Dan yang paling penting, bingkisan doa bagi meniupkan semangat dan memohon kemenangan untuk rakyat Palestin. Kita mungkin berasa beruntung kerana hidup dalam suasana aman dan selesa, tidak seperti di Palestin yang dihujani dengan bom dan peluru, di samping banyak infrastruktur yang sudah rosak. Namun, hakikat yang mungkin kita tidak sedari, sebenarnya rakyat Palestin lebih bertuah kerana mereka diberi peluang untuk mati syahid di jalan Allah.

Azam Tahun Baru

Apabila tibanya tahun baru, kebiasaannya orang akan menanam azam baru. Bagi penulis, nothing in particular. Menjadi tabiat bagi penulis, untuk kurang meletakkan sebarang harapan, target atau azam jangka panjang. Cuma, target untuk jangka pendek dan sederhana. Tentang perkara ni, mungkin akan penulis huraikan di entry yang berlainan. Tetapi, apabila orang bertanya, biasanya penulis akan menjawab, “Entah, nak jadi lebih baik kot.” Satu jawapan yang amat tipikal.

Apa yang pasti, buat masa sekarang, penulis berazam untuk meninggalkan tabiat suka mengintip dan mencari rahsia orang. Meninggalkan rasa curiosity yang terlampau tinggi. Insya-Allah, ingin penulis tinggalkan untuk selama-lamanya. Kadang-kadang, apabila kita tahu terlalu banyak perkara berkaitan orang lain, pengetahuan tersebut lebih banyak menyusahkan kita. Apabila sesuatu rahsia mula diketahui, apa yang terjadi adalah ketagihan untuk mengetahuinya dengan lebih dalam. Kadang-kadang tu juga, dengan rahsia yang kita dapat, kita sering memandang serong terhadap orang lain, walhal apa yang diketahui itu bukanlah cerita yang lengkap. Apabila keseluruhan cerita diperoleh, barulah tersedar yang kita tersilap menilai orang lain. So, lebih baik tinggalkan daripada berterus-terusan terseksa.

Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini untuk menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Amin.

“Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan buruk-sangka (kecurigaan), kerana sebagian dari buruk-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain.”
(Surah al-Hujuraat:12)