izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Assalamualaikum…

Akhirnya, setelah hampir dua bulan page blog ini disiapkan, akhirnya entry pertama dapat di poskan. Alhamdulillah, tercapai hajat untuk berblog. Entah kenapa, sekarang ni ramai dari kalangan rakan-rakan penulis yang membuat blog. Menjengah tahun 2009 ini saja pun, ada lebih kurang 5 orang yang dah mempunyai blog masing-masing. Satu perkembangan yang baik, senanglah untuk penulis, sebagai article reviewer yang tegar untuk mendapatkan bahan-bahan cerita dan pendapat-pendapat yang berbeza daripada rakan-rakan. Semoga blog boleh menjadi ruang bagi kita untuk sama-sama berkongsi cerita, pengalaman, suka-duka dan juga pendapat.

Palestin

Isu yang paling hangat buat masa sekarang semestinya tentang serangan Israel ke atas Palestin. Umum mengetahui, saban hari, Israel membedil kawasan Palestin, dengan alasan untuk menghapuskan ancaman kumpulan Hamas. Walhal, apa yang berlaku, banyak tempat-tempat awam, dan juga orang-orang awam yang menjadi sasaran. Realiti yang pahit untuk ditelan, kita sememangnya tidak berupaya untuk mendesak Israel supaya menghentikan serangan. Sedangkan kuasa-kuasa besar dunia seperti Perancis dan Russia pun tidak mampu menghalang, inikan pula kita, sebuah negara kecil yang ekonominya banyak bergantung kepada negara luar.

Tetapi, bukanlah bermakna kita harus membiarkan sahaja keadaan ini. Apa yang boleh kita lakukan, adalah dengan menghulurkan ‘sokongan’ dan ‘bantuan’ kepada Palestin. Demonstrasi dan protes boleh diadakan sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin, juga sebagai tanda benci kepada pengganas Zionis Israel. Bantuan seperti sumbangan kewangan atau barang-barang boleh dilakukan melalui saluran yang betul. Dan yang paling penting, bingkisan doa bagi meniupkan semangat dan memohon kemenangan untuk rakyat Palestin. Kita mungkin berasa beruntung kerana hidup dalam suasana aman dan selesa, tidak seperti di Palestin yang dihujani dengan bom dan peluru, di samping banyak infrastruktur yang sudah rosak. Namun, hakikat yang mungkin kita tidak sedari, sebenarnya rakyat Palestin lebih bertuah kerana mereka diberi peluang untuk mati syahid di jalan Allah.

Azam Tahun Baru

Apabila tibanya tahun baru, kebiasaannya orang akan menanam azam baru. Bagi penulis, nothing in particular. Menjadi tabiat bagi penulis, untuk kurang meletakkan sebarang harapan, target atau azam jangka panjang. Cuma, target untuk jangka pendek dan sederhana. Tentang perkara ni, mungkin akan penulis huraikan di entry yang berlainan. Tetapi, apabila orang bertanya, biasanya penulis akan menjawab, “Entah, nak jadi lebih baik kot.” Satu jawapan yang amat tipikal.

Apa yang pasti, buat masa sekarang, penulis berazam untuk meninggalkan tabiat suka mengintip dan mencari rahsia orang. Meninggalkan rasa curiosity yang terlampau tinggi. Insya-Allah, ingin penulis tinggalkan untuk selama-lamanya. Kadang-kadang, apabila kita tahu terlalu banyak perkara berkaitan orang lain, pengetahuan tersebut lebih banyak menyusahkan kita. Apabila sesuatu rahsia mula diketahui, apa yang terjadi adalah ketagihan untuk mengetahuinya dengan lebih dalam. Kadang-kadang tu juga, dengan rahsia yang kita dapat, kita sering memandang serong terhadap orang lain, walhal apa yang diketahui itu bukanlah cerita yang lengkap. Apabila keseluruhan cerita diperoleh, barulah tersedar yang kita tersilap menilai orang lain. So, lebih baik tinggalkan daripada berterus-terusan terseksa.

Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini untuk menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Amin.

“Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan buruk-sangka (kecurigaan), kerana sebagian dari buruk-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain.”
(Surah al-Hujuraat:12)


















0 comments:

Post a Comment