izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Dikisahkan sepasang suami isteri yang bekerja meninggalkan anaknya yang berusia tiga tahun bernama Ita, bersama pembantu rumah di rumah mereka. Lumrah kanak-kanak, pastinya suka mencuba dan membuat sesuatu yang baru. Begitu juga dengan Ita. Pada suatu hari, sambil bermain, dia mencoret-coret tanah di halaman rumah dengan sebatang lidi, sementara pembantu rumah menjemur kain berhampiran dengan tempat letak kereta. Selepas puas mencoret tanah, Ita terjumpa sebatang paku berkarat dan mula pula mencoret-coret kereta bapanya yang berwarna hitam. Kerana masih baru, kereta itu jarang digunakan bapanya untuk ke pejabat. Akhirnya, penuhlah kereta itu dengan coretan gambar hasil tangan Ita.

Apabila bapanya pulang, Ita dengan bangganya menceritakan pada bapanya mengenai gambar-gambar yang dilukisnya pada kereta bapanya itu. Namun, bukan pujian yang diterima, tetapi kemarahan yang sangat dahsyat. Orang pertama yang dimarahi adalah pembantu rumah, kerana dianggap gagal mengawasi Ita di rumah. Kemudian, giliran Ita pula dihukum. Bagi mendisiplinkan anaknya itu, Ita bukan hanya dimarahi dengan kata-kata, tetapi juga dipukul. Kedua-dua belah tapak tangan dan belakang tangan Ita dipukul dengan apa sahaja barang yang didapati oleh bapanya. Mula-mula dengan kayu pembaris, kemudian ranting kayu dan lidi disertai dengan luahan emosi yang tidak dapat dikawal lagi.

"Maaf, abah! Sakit... sakit!" Jerit Ita sambil menahan sakit di tangannya yang sudah mula berdarah. Ibunya hanya mendiamkan diri, seolah-olah merestui tindakan yang dilakukan suaminya.

Selepas puas mengajar anaknya, si bapa menyuruh pembantu rumah membawa Ita masuk ke biliknya. Dengan hati yang sedih dan hiba, pembantu rumah itu membawa Ita ke biliknya. Pada sebelah petangnya, apabila mandi, Ita menjerit-jerit menahan sakit dan pedih. Esok harinya, tangan Ita mulai membengkak, sementara ibu dan bapanya tetap bekerja seperti biasa. Semasa pembantu rumah memberitahu mengenai keadaan Ita, ibunya hanya berkata, "Sapukan ubat krim sahaja!"

Hari berganti hari, hinggalah suhu badan Ita mulai naik kerana luka di tangannya sudah dijangkiti kuman. Ketika diberitahu, ibu bapanya hanya mengarahkan untuk diberi ubat ppenurun panas. Hingga pada suatu malam, suhu badannya semakin panas, sehingga membuatkan Ita meracau-racau. Barulah ibu bapanya kelam-kabut membawa Ita, yang sudah nampak begitu lemah, ke hosital malam itu juga.

Selepas diperiksa, doktor memberitahu yang demam Ita berpunca daripada tangannya yang sudah dijangkiti kuman dan busuk akibat luka-lukanya itu. Selepas seminggu Ita dirawat di hospital, doktor memanggil ibu dan bapanya serta memberitahu mereka, "Tidak ada pilihan lain..."

Doktor mengatakan kedua-dua belah tangan anak mereka perlu dipotong kerana jangkitan yang sudah terlalu parah. "Jangkitan itu sudah bernanah dan membusuk. Bagi menyelamatkan nyawa Ita, tangannya perlu dipotong!"

Mendengar berita yang mengejutkan itu, kedua-dua orang tua Ita bagaikan disambar petir. Dengan air mata yang berjurai dan tangan yang menggeletar, mereka menandatangani surat persetujuan pemotongan tangan anak yang mereka kasihi itu.

Selepas proses pemotongan selesai dan sedar daripada ubat biusnya, Ita terjaga sambil menahan kesakitan dan bingung melihat tangannya yang dibalut kain putih itu. Lebih memeranjatkannya lagi apabila dia melihat kedua-dua ibubapanya dan pembantu rumah menangis di sampingnya. Sambil menahan sakit, Ita berkata kepada ibu bapanya, "Abah, Mama, Ita tidak akan buat lagi. Ita sayang Abah, sayang Mama, juga sayang kakak. Ita minta maaf kerana menconteng kereta Abah!" Kesedihan kedua-dua ibu bapanya semakin bertambah dan mereka tidak dapat menahan air mata mendengar kata-kata Ita itu.

"Abah, tolonglah pulangkan tangan Ita, mengapa Abah ambil? Ita janji tidak buat lagi. Bagaimana Ita nak main dengan kawan-kawan kalau tangan Ita sudah diambil? Mama, tolonglah pulangkan, pinjam sekejap sahaja. Ita nak bersalam dengan Abah, Mama dan kakak, nak minta maaf!"

Namun, penyesalan bagi kedua-dua orang tua Ita sudah tidak ada gunanya lagi, nasi sudah menjadi bubur.

Pengajaran Cerita

Memang ramai orang bangga menghukum seseorang di hadapan orang lain, sama ada hukuman yang berupa teguran mahupun yang merupakan tindakan disiplin. Hukuman yang baik seharusnya bertujuan untuk mengubah tingkah laku yang dihukum dan tidak menghapuskan motivasi ataupun semangat seseorang daripada melakukan yang terbaik bagi dirinya sendiri, keluarga dan juga pekerjaannya.

Namun, yang sering terjadi, hukuman yang diberi lebih bertujuan sebagai pelepasan kekesalan, perasaan marah dan dendam peribadi. Teguran yang diberi lebih kepada mengkritik dan mencaci, daripada membina dan memberi nasihat. Tindakan yang dilakukan lebih kepada memalukan dan menyusahkan, bukannya membentuk dan mendidik. Akibatnya, bukan nilai murni yang disemai, tetapi dendam kesumat yang tersemat. Kebinasaan yang berlaku. Hubungan yang baik akan mula terjejas. Niat asal yang mungkin untuk memperbetulkan, bukan sahaja tidak tercapai, malah memburukkan lagi keadaan.

Seharusnya aqal diguna sebelum menghukum, bukannya nafsu dan emosi yang memandu. Jika tidak, diri sendiri yang lebih rasa terhukum akibat tersilap menghukum. Harus diingat, tiada yang sempurna dalam dunia ini; hanya Allah yang Maha Sempurna. Semua orang melakukan kesilapan, dan kesilapan itulah yang harus dimaafkan terlebih dahulu.

*Dipetik dan disunting daripada "Setengah Berisi, Setengah Kosong?" tulisan Parlindungan Marpaung terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd.