izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Cerpen: Indahnya Berprasangka Baik
Posted by amar on 2006/11/27 5:18:47

Dua lelaki bersaudara bekerja di sebuah kilang kicap dan sama-sama belajar agama Islam untuk sama-sama mengamalkan ilmunya dalam kehidupan sehari-hari sebanyak mungkin. Mereka berjalan kaki mengaji ke rumah gurunya yang jaraknya sekitar 10 kilometer dari rumah peninggalan orang tua mereka.

Suatu ketika si abang berdo'a memohon rezeki untuk membeli sebuah kereta supaya dapat dipergunakan sebagai pengangkutan dia dan adiknya bila pergi mengaji. Allah mengabulkannya, tak lama kemudian sebuah kereta dapat dia miliki disebabkan mendapatkan bonus dari perusahaannya bekerja.

Lalu si abang berdo'a memohon seorang isteri yang sempurna, Allah mengabulkannya. Tak lama kemudian si abang bersanding dengan seorang gadis yang cantik serta baik perangai.

Kemudian berturut-turut si abang berdo'a memohon kepada Allah akan sebuah rumah yang selesa, pekerjaan yang layak, dan lain-lain dengan i'tikad supaya boleh lebih ringan dalam mendekatkan diri kepada Allah. Dan Allah selalu mengabulkan semua do'anya itu.

Sementara itu si adik tidak ada perubahan sama sekali. Hidupnya tetap sederhana, tinggal di rumah peninggalan orang tuanya yang dulu dia tempati bersama dengan abangnya. Namun kerana abangnya seringkali sibuk dengan pekerjaannya sehingga tidak dapat mengikuti pengajian, dan si adik seringkali harus berjalan kaki untuk mengaji ke rumah guru mereka.

Suatu saat, si sbang merenungkan dan membandingkan perjalanan hidupnya dengan perjalanan hidup adiknya, dan dia teringat adiknya selalu membaca selembar kertas apabila dia berdo'a menandakan adiknya tidak pernah hafal bacaan untuk berdo'a. Lalu datanglah ia kepada adiknya untuk menasihati adiknya supaya selalu berdo'a kepada Allah dan berupaya untuk membersihkan hatinya, kerana dia merasakan adiknya masih berhati kotor sehingga do'a-do'anya tiada dikabulkan oleh Allah azza wa jalla.

Si adik berasa terharu dan bersyukur sekali mempunyai abang yang begitu menyayanginya, dan dia mengucapkan terima kasih kepada abangnya atas nasihat itu.
Suatu saat ketika si adik meninggal dunia, si abang terasa sedih kerana sehingga sampai akhir hayat adiknya itu masih tidak ada perubahan pada nasibnya. Jadi dia merasa bimbang kalau adiknya itu meninggal dalam keadaan kotor hatinya sehubungan do'anya yang tidak pernah terkabul.

Si abang menguruskan rumah peninggalan orang tuanya sesuai dengan amanah adiknya untuk dijadikan sebuah masjid. Tiba-tiba matanya tertuju pada selembar kertas yang terlipat dalam sajadah yang biasa dipakai oleh adiknya yang berisi tulisan do'a, diantaranya Al-fatihah, Solawat, do'a untuk guru mereka, do'a selamat dan ada kalimah di akhir do'anya:

"Ya, Allah. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Mu. Ampunilah aku dan abang ku, kabulkanlah segala do'a abang ku, bersihkanlah hati ku dan berikanlah kemuliaan hidup untuk abangku didunia dan akhirat."

Si abang berlinang air mata dan haru biru memenuhi dadanya, terharu dan tidak menyangka, ternyata adiknya tak pernah sekalipun berdo'a untuk memenuhi nafsu duniawinya.

izzuddinmohd:
Terkadang, kita merasakan diri kita ini seorang yang baik, lebih baik daripada orang lain. Mungkin kerana kita selalu merasakan nikmat daripada-Nya, sedangkan orang lain tidak memperoleh seperti yang kita perolehi. Walhal nikmat yang dikurnia adalah ujian untuk menguji sejauh mana kita bersyukur kepada-Nya. Mungkin juga kerana kita merasakan yang ibadat dan amal yang kita perbuat melebihi daripada yang orang lain perbuat, walhal kita tidak tahu samaada amal kita diterima Allah ataupun tidak.

Wallahu'alam.

*Dipetik dan disunting daripada www.paksi.net


Alhamdullillah. Segala puji hanya untuk-Nya. Baru tadi, selesai separuh masa pertama untuk peperiksaan akhir semester II 2008/2009. Kertas terakhir, MCQ untuk tiga subjek teras. Penulis tidak mahu bercerita panjang tentang ujian yang dilalui setakat ini. Pujangga ada berpesan, “Perkara yang lepas usah diratapi, biarkan sahaja menjadi pengajaran, tidakpun menjadi kenangan.” Segala usaha telah diberikan, segala upaya telah dicurahkan. Biarkanlah masa dan keadaan sahaja yang menentukan. Tawakal kepada Allah, Dia yang merencanakan segalanya. ‘Perjuangan’ untuk separuh masa kedua harus diteruskan.

Keletihan yang membahagiakan

“Aduh, banyaknya nak kena baca! Letih ah macam ni.” Rungutan biasa yang selalu penulis ungkapkan dikala musim peperiksaan.

Memang, belajar itu meletihkan. Belajar itu memenatkan. Banyak menggunakan tenaga. Kurang masa untuk berehat. Sedikit masa untuk tidur. Seluruh badan terasa ‘berat’ untuk bergerak. Otak terasa ‘sarat’ dengan beban. Sampai ke satu tahap, rasa malas mula datang menjenguk, rasa putus asa mula menghinggap di fikiran. Akhirnya, tewas.

Tetapi, hakikat yang pasti, keletihan itulah yang sebenarnya memberikan kepuasan, memberikan kebahagiaan. Lebih manis jika segala keletihan yang dilalui menghasilkan sebuah kejayaan. Biarpun tanpa kejayaan, memadai dengan berasa senang dan tenang kerana selesai mengharungi segala kepayahan.

Bak kata Imam asy-Syafi’ie,
“Berpenat-lelahlah, kerana kesenangan itu selepas kepayahan. Janganlah berdukacita dengan hidup yang meletihkan, kerana sebab demikianlah hidup itu diciptakan.”

Teruskan berusaha!

Hidup inikan singkat, manfaatkan sebaiknya.

“Life is short. Value it!”


*gambar diambil daripada www.testi.iluvislam.com