izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Mahasiswa wajar kikis imej 'backbenchers'
oleh: Dr. Irfan Mohamad

Istilah 'backbenchers' mungkin diiktiraf di Parlimen. Ada juga kumpulan yang diwujudkan menggunakan nama itu.

Namun kewujudan 'backbenchers' di kalangan mahasiswa adalah perkembangan yang amat menyedihkan. Ini terutamanya apabila kita memandang dari perspektif kumpulan inilah yang akan menjadi pewaris generasi pada masa hadapan.

'Backbenchers' yang dimaksudkan di sini ialah sekumpulan pelajar yang amat menggemari kerusi belakang di dalam dewan kuliah. Mereka ini jika datang ke kelas awal sekali pun, akan sentiasa duduk di barisan belakang, sebelakang yang boleh.

Tidak pasti apa sebenar motif mereka berkelakuan sedemikian. Namun golongan paling sinonim dengan barisan paling belakang ini ialah pelajar lelaki Melayu. Setiap kali musim kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi (IPT), statistik yang sama akan terus berulang. Pelajar perempuan terus mendominasi termasuklah angka 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009.

Lebih parah, kebanyakan daripada baki yang tertinggal terlalu gemar berada di posisi pilihan iaitu yang paling belakang. Sama ada kerusi paling belakang ialah kerusi paling selamat daripada diajukan soalan, atau kerusi yang paling cepat untuk mereka keluar kelas, atau lokasi yang paling sesuai untuk melelapkan mata, hanya empunya diri sahaja yang tahu.

Tidak dinafikan penggemar kerusi belakang ada juga yang bijak dan berjaya dalam pelajaran, namun majoriti adalah sebaliknya.

Adakalanya ilmu yang ingin disampaikan oleh pensyarah tidak sampai. Bahkan ada juga yang tidak dapat didengar dengan jelas akibat jarak yang terlalu jauh lebih-lebih lagi di dalam dewan kuliah yang besar.

Jauh sekali untuk bertanya soalan. Kelompok ini biasanya akan tertinggal dan ditinggal oleh arus pemahaman pelajar di hadapan yang sering memperoleh peluang untuk bertanya dan menjawab soalan.

Sebagai sebuah agama yang menjadi panduan sepanjang hayat, Islam mengajar perkara yang sebaliknya. Dalam sesebuah majlis ilmu, para penuntut digalakkan berada di ruangan paling hadapan.

Semakin hampir seorang murid dengan seorang gurunya, maka semakin berkat ilmu yang diperolehnya. Di dalam solat juga kita diajar supaya memenuhkan saf depan dahulu. Tepat sekali bagi golongan lelaki yang menjadi ketua dalam banyak perkara. Bahkan, pahalanya juga tidak sama. Sesungguhnya mempraktikkan apa yang diajar sewaktu bersolat itu benar-benar menghampirkan kita ke arah kejayaan, sekiranya kita menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Namun, apa yang lebih membanggakan ialah jika mereka mampu meneruskan semangat untuk mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi. Mereka juga menunjukkan motivasi berterusan dan bukan hanya mensasarkan kelulusan cukup-cukup makan sahaja.

Ayuh mahasiswa lelaki sekalian, sahutlah cabaran ini dengan membuktikan bahawa anda tidak termasuk dalam golongan ini.

Kembalikan kebenaran kata-kata hikmat negarawan bahawa pemuda sememangnya harapan bangsa. Pemuda akan mendepani apa jua cabaran mendatang dengan semangat waja. Pemuda juga akan menjawab apa jua soalan mengikut kemampuan dan bukan hanya berdiam diri di barisan belakang.

Petikan artikel daripada http://utusan.com.my

izzuddinmohd:
Adusss....pedasnya cili....

1 comments:

ohh..lecturer aku dah ckp ni sebab budaya ladies first yg mula2 diperkenalkan kat Amerika..

oleh kerana dlm kelas aku pon lelaki sokmo terbelakang sebab kami hanya minoriti, lecturer tersebut dah perkenal polisi baru- GENTLEMAN FIRST-..

semua 2 row kerusi depan wajib dikosongkan sister utk tempat Brothers..yeah..gentleman first duduk depan..sejka itu kami terus merasa selesa di depan, walaupun masih tetap kurang bertanya..

Post a Comment