izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Syukur ke hadrat Allah, yang memudahkan segala urusan untuk hamba-hambaNya menjalankan kerja-kerja di jalan agama. Alhamdulillah, program Dialog Antara Agama (Interfaith Dialogue, IFD) yang julung kali di adakan di UIAM Kuantan baru-baru ini berjalan dengan lancar, tanpa sebarang gangguan, tanpa sebarang provokosi. Penyertaan daripada para peserta amatlah menggalakkan. Satu program yang sememangnya memberi satu pendedahan dan perspektif baru bagi mereka yang menghadirinya.

Tak takut ke tergugat iman?

Dulu, semasa zaman sekolah, penulis sering dimomokkan dengan cerita orang-orang yang murtad selepas mepelajari tentang agama lain. Apabila penulis bertanya tentang agama-agama lain, sering pertanyaan tersebut dimatikan dengan ugutan “Kamu nak masuk agama tu ke?”. Paling kurang pun, ada yang berkata “Hai, tak takut ke tergugat iman tu?” Dek kerana takut, hasrat penulis untuk mempelajari asas tentang agama lain terbantut.

Tetapi, segala-galanya berubah di UIAM Kuantan. Di sini, penulis berpeluang untuk mengikuti seminar-seminar perbandingan agama, kelas-kelas dan yang terbaru, dialog antara agama. Cukup banyak yang dipelajari. Cukup banyak yang didedahkan. Cukup banyak ilmu yang ditimba.
Mempelajari tentang agama-agama lain sebenarnya bukanlah sesuatu yang bahaya, sesuatu yang boleh menjerumuskan kepada murtad. Bahkan, insyaAllah, boleh meneguhkan lagi iman dan kepercayaan kepada agama Islam. Allah berfirman dalam Quran:

Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".
(surah al-Isra’: 81)


Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.
(surah al-Maaidah: 3)


Islam itu agama yang benar, agama yang dipilih oleh Allah. Itu janji Allah dalam KalamNya. Dengan membandingkan Islam dengan agama yang lain, kita akan mendapati bahawa kebenaran dan kesucian Islam akan jelas terlihat. Islam itu suci, bersih daripada sebarang penipuan, bersih daripada campur tangan manusia. Bukan untuk memperlekehkan agama lain, cuma ini adalah janji Allah. Islam adalah agama pilihan Allah.



Memahami dengan melihat

Ketika sesi petang program IFD yang penulis sertai baru-baru ini, satu pengajaran berguna telah penulis perolehi. Orang bukan Islam memahami Islam bukan dengan mempelajari tentang ajaran dan konsep Islam, tetapi dengan melihat kepada sikap, sifat dan tindak-tanduk penganutnya. Akhlak adalah refleksi kepada ajaran, itu pegangan mereka. Ini bukan salah mereka, mereka tidak terdedah dengan ajaran yang sebenar. Mereka hanya mampu melihat, mampu memerhati.

Dan hasilnya, dek kerana teruknya perangai orang-orang Islam sekarang, yang kebanyakannya kerana kurangnya penghayatan dalam ajaran Islam yang sebenar, banyak salah faham (misconception) yang timbul terhadap Islam. Inilah yang sepatutnya ditangani agar imej Islam tetap terpelihara dan terjaga.

Maka, di sinilah tugas kita bermula untuk memperbetulkan salah faham yang ada. Bagaimana caranya? Apa yang perlu dibuat? Jawapannya, pandai-pandailah fikirkan sendiri. Rasa-rasanya, semua tahu jawapannya. Biasalah, teori dan prinsip ada dalam kepala, cuma, apabila nak dizahirkan pada tindakan, agak sukar sedikit. Perasaan malas dan culas memang susah nak dibuang.

InsyaAllah, jika impian dan usaha diseiringkan, matlamat akan berjaya dicapai.



0 comments:

Post a Comment