izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Baru-baru ini, sebagai respons kepada sebuah artikel yang dibaca, penulis berbincang tentang sebuah kisah yang masyhur, kisah Ashabul Ukhdud, yang ada diceritakan dalam surah al-Buruuj, dan diperincikan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sebuah hadis. Namun, percanggahan berlaku antara kami. Puncanya, kami mengetahui kisah tersebut dalam versi yang tidak lengkap. Si rakan mengetahui bahagian pengakhiran kisah, manakala penulis pula bahagian awal sahaja. Berdasarkan kepada apa yang kami ketahui, kami buat kesimpulan sendiri. Dan, perselisihan berlaku. Sungguh, manusia itu lemah. Ilmunya terhad, terbatas.

Untuk mengelakkan kekeliruan berpanjangan, penulis membuat carian Internet. Alhamdulillah, dipermudahkan oleh-Nya. Banyak artikel-artikel berkaitan Ashabul Ukhdud dijumpai. Di sini, penulis sisipkan sebuah versi kisah Ashabul Ukhdud, sebagai santapan unuk sidang pembaca. Sebuah kisah yang banyak pengajarannya. Kisah kekuatan hati dan keteguhan iman seorang pemuda, yang meniggalkan kesan yang mendalam kepda orang lain di sekelilingnya; seluruh anggota masyarakatnya kembali beriman kepada Allah.

Kisah Ashabul Ukhdud

Shuhaib bin Simaan ar-Rmmi r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

Pada masa dahulu, ada seorang Raja yang mempunyai seorang ahli sihir. Suatu hari, ahli sihir yang telah tua itu berkata kepada Raja, "Kini aku telah tua dan mungkin telah dekat ajalku, kerana itu engkau kirimkanlah kepadaku seorang pemuda yang dapat aku ajarkan kepadanya ilmu sihir”. Maka Raja berjaya mendapatkan seorang pemuda untuk mempelajari ilmu sihir itu. Selepas memulakan pengajian dengan ahli sihir itu, tatkala dalam perjalanan di antara tempat ahli sihir dengan rumah pemuda itu, dia ternampak seorang pendeta (ahli ibadah) yang sedang mengajar agama. Pada suatu masa, pemuda itu singgah di tempat pendeta untuk mendengarkan pengajiannya, dan dia tertarik dengan ajaran pendeta itu.

Bermula dari hari itu, setiap kali hendak menuju ke tempat ahli sihir, pemuda itu akan singgah di tempat pendeta tersebut, sehinggakan dia selalu terlambat sampai di tempat ahli sihir dan menyebabkan dia selalu dipukul. Begitu juga ketika perjalanan pulang, sehinggakan apabila terlambat kembali ke rumahnya juga, dia akan dipukul. Maka dia mengadu tentang kejadian itu kepada pendeta. Maka diajarkan oleh pendeta tersebut, jika terlambat datang kepada ahli sihir supaya berkata “Aku ditahan oleh keluargaku”, dan apabila terlambat kembali ke rumah katakan, “Aku ditahan oleh ahli sihir”.

Selepas beberapa lama kemudian, pada suatu hari, ketika pemuda itu hendak pergi ke suatu tempat, secara tiba-tiba di tengah-tengah jalan ada seekor binatang buas yang menyebabkan orang ramai tidak berani lalu di tempat itu. Maka pemuda itu berkata, "Sekarang aku akan mengetahui yang mana yang lebih baik di sisi Allah, apakah ajaran si pendeta, atau ajaran ahli sihir?" Lalu dia mengambil sebutir batu dan berdoa, "Ya Allah! Jika ajaran pendeta itu lebih baik di sisi-Mu, maka bunuhlah binatang itu supaya orang ramai dapat lalu lalang di tempat ini”. Lalu dilemparkanlah batu itu, dan langsung terbunuh binatang itu. Dan orang ramai gembira kerana dapat lalu di jalan itu. Pemuda itu memberitakan kejadian itu kepada pendeta, maka berkatalah pendeta itu kepadanya, "Engkau kini telah afdhat (pesan) daripadaku, dan engkau akan diuji. Maka, jika engkau diuji, jangan sampai menyebut namaku”.

Selepas beberapa masa kemudian, pemuda itu mendapat kebolehan untuk menyembuhkan orang buta dan sopak, dan juga berbagai-bagai macam penyakit. Pada suatu majlis besar Raja, ada seorang pembesar yang telah buta matanya kerana penyakitnya. Ketika dia mendengar berita bahawa ada seorang pemuda yang boleh menyembuhkan pelbagai macam penyakit, maka dia segera pergi kepada pemuda itu sambil membawa hadiah yang banyak, dan berkata, "Sembuhkan aku, dan aku sanggup memberikan kepadamu apa saja yang engkau suka”. Jawab pemuda itu, "Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang pun, sedang yang menyembuhkan hanyalah Allah azza wajalla. Jika engkau mahu beriman kepada Allah, maka aku akan berdoa semoga Allah menyembuhkan mu”.

Maka langsung pembesar itu beriman kepada Allah, dan kemudian pemuda itu berdoa untuknya. Dengan izin Allah, seketika itu juga mata pembesar itu pulih. Kemudian dia kembali ke majlis Raja sebagaimana biasanya, dan dia ditanya oleh Raja, "Hai Fulan! Siapakah yang menyembuhkan matamu?" Jawabnya, "Rabbi (Tuhanku)”. Raja bertanya, "Aku?" Jawabnya, "Bukan, tetapi Tuhanku dan Tuhanmu, iaitu Allah”. Ditanya oleh Raja, "Apakah engkau mempunyai Tuhan selain aku?" Jawabnya, "Ya. Tuhanku dan Tuhanmu, Dialah Allah". Maka diseksa pembesar itu oleh Raja dengan seberat-berat seksaan sehingga terpaksa dia memberitahu kepada Raja itu akan pemuda yang telah mendoakan untuknya.

Maka segera dipanggil pemuda itu lalu berkata Raja itu, "Hai anak! Sungguh hebat sihirmu sehingga dapat menyebuhkan orang buta dan sopak dan pelbagai macam penyakit”. Jawab pemuda itu, "Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun, hanya semata-mata Allah azza wa jalla”. Raja itu pun bertanya, "Adakah aku?" "Tidak", jawab permuda itu. Maka tanya Raja itu, "Adakah engkau ada Tuhan lain selain aku?" Jawab pemuda "Ya, Tuhanku dan Tuhanmu, hanya Allah". Maka pemuda itu ditangkap dan disiksa seberat-beratnya sehingga terpaksa dia menunjukkan kepada pendeta yang mengajarnya. Maka dipanggil pendeta dan dipaksa untuk meninggalkan agamanya, tetapi pendeta tetap bertahan dan tidak mahu beralih agama. Maka diletakkan gergaji di atas kepalanya, dan digergaji dari atas kepalanya hingga terbelah dua badannya.

Kemudian, pemuda itu sekali lagi diperintah untuk meninggalkan agama yang dianutnya (agama Islam). Tetapi pemuda itu menolak perintah Raja. Maka, Raja memerintahkan supaya pemuda itu dibawa pergi ke puncak gunung. Dia ditawarkan supaya meninggalkan agamanya dan mengikuti agama Raja, jika tetap menolak perintah itu, dia akan dilempar dari atas gunung itu. Maka, ketika telah sampai di atas gunung dan ditawarkan kepadanya untuk berubah agama, dia telah menolak tawaran tersebut. Kemudian pemuda itu berdoa, "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta (Ya Allah! Selesaikanlah urusanku dengan mereka ini sehendak-Mu)". Tiba-tiba gunung itu bergoncang sehingga mereka berjatuhan dari atas bukit dan mati semuanya. Maka segeralah pemuda itu kembali menemui Raja, dan ketika ditanya, "Manakah orang-orang yang membawamu?". Jawabnya, "Allah yang menyelesaikan urusan mereka".

Lalu pemuda itu diperintah untuk dibawa ke laut dengan menaiki perahu. Apabila telah sampai di tengah-tengah laut, ditanyakan kepadanya jika dia mahu mengubah agama, jika tidak maka akan dilemparkan ke dalam laut. Sekali lagi, pemuda itu berdoa, "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta", maka tenggelamlah orang-orang suruhan Raja yang membawanya. Selepas itu, segeralah pemuda itu kembali menghadap Raja. Dia ditanya oleh Raja, "Bagaimana keadaan orang yang membawamu?" Jawabnya, "Allah yang menyelesaikan mereka".

Kemudian pemuda itu berkata kepada Raja, "Engkau tidak akan dapat membunuhku kecuali jika engkau menuruti perintahku. Hanya dengan itu engkau akan dapat membunuhku". Raja bertanya, "Apakah perintahmu?" Jawab pemuda, "Kau kumpulkan semua orang di suatu lapangan, lalu engkau gantung aku pada tiang, lalu engkau ambil anak panah milikku ini dan kau letakkan di busur panah. Kemudian, bacalah “Bismillahi Rabbil ghulaarn” (Dengan nama Allah Tuhan pemuda ini). Kemudian engkau lepaskan anak panah itu, maka dengan itu engkau dapat membunuhku". Maka semua usul pemuda itu dilaksanakan oleh Raja, dan ketika anak panah telah mengenai pelipis pemuda itu, dia mengusap dengan tangannya dan langsung mati. Semua orang yang hadir berkata, "Aamannaa birrabil ghulaam (Kami beriman kepada Tuhannya pemuda itu)".

Sesudah itu ada orang memberitahu kepada Raja bahawa semua rakyat telah beriman kepada Tuhannya pemuda itu, maka bagaimanakah usaha untuk menghadapi rakyat yang banyak ini. Lalu Raja memerintahkan supaya di setiap jalan digali parit dan dinyalakan api, dan tiap orang yang berjalan di sana akan ditanya tentang agamanya. Jika dia tetap setia pada kami (Raja), biarkan, tetapi jika dia tetap percaya kepada Allah, maka masukkanlah dia ke dalam parit api itu.

Maka, berduyun-duyunlah orang yang dimasukkan ke dalam parit api itu, sehingga pada suatu masa datang seorang wanita yang menggendong bayinya yang masih menyusu. Ketika bayinya diangkat oleh pengikut-pengikut Raja untuk dimasukkan ke dalam parit berapi itu, wanita itu hampir menurut mereka berganti agama kerana sangat belas kasihan kepada anaknya yang masih kecil itu. Tiba-tiba anak bayi itu berbicara dengan suara lantang, "Sabarlah wahai ibuku, karena kau sedang mempertahankan yang hak!”

(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nasa'i)

Berkata Ibnu Abbas, kisah ini berlaku 70 tahun sebelum Nabi saw.
Wallahua’lam.

Dipetik dan disunting dari www.islamic-world.net/youth/ashabul_ukhdud.htm

Untuk kisah lanjut tentang Ashabul Ukhdud, tekan di sini.

1 comments:

sedak blaja ilmu baru... kisah pemuda jughuh..

"pemuda yg hatinya tergantung di masjid, dijanjikan naungan Allah di padang mahsyar kelak"..

Post a Comment