izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Ayah saya bernama Ibrahim bin Abdullah. Dia membesar dengan penuh kesusahan. Arwah ibunya kembali ke rahmatullah sejak dia bayi. Arwah ayahnya bernikah lain dan hidup bersama ibu tiri menambah derita ayah. Ayah hidup berpindah randah dan akhirnya dia membesar bersama bapa saudaranya di Besut.

Mungkin kerana dia tidak pernah dimanjakan, dia tidak berapa reti memanjakan anak-anak. Saya anak ke dua, kami empat beradik. Kami bukan keluarga senang. Pekerjaan utama ibu dan ayah adalah menanam padi dan waktu itu, padi di tanam mengikut musim hujan, setahun sekali saja. Jadi, masa sengkang ayah bekerja kilang yang letaknya kira-kira 10 kilometer dari rumah. Berbasikal. Saya masih ingat, ayah masuk kerja jam 4 petang dan pulang jam 12 malam.

Saya memang anak emas ayah. Semenjak kecil, jarang benar saya di marahi, kecuali jika saya sendiri yang sengaja mencari masalah. Prinsip saya sejak kecil, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar. Dan itu yang sentiasa saya tegakkan walaupun ia melibatkan ayah atau ibu sendiri. Kemiskinan juga sering menjadi punca pergaduhan ibu dan ayah, selalunya saya menjadi orang tengah antara mereka berdua. Mungkin kerana waktu itu, ayah mudah sejuk jika melihat saya. Agaknya..

Meningkat Dewasa

Saya tinggalkan keluarga, ibu dan ayah setelah mendapat tawaran masuk ke MRSM tingkatan 4. Seminggu saya homesick menangis setiap hari di asrama. Sejak ke asrama, masa bersama ayah dan ibu semakin kurang. Selesai SPM, saya menetap dengan kakak di Kuala Lumpur. Setelah mendapat keputusan SPM, saya sambung pengajian ke Universiti. Masa bersama ayah semakin kurang.

Saya mengambil masa enam tahun untuk menamatkan pengajian di universiti, ayah juga mungkin sudah penat menunggu. Ayah saya disahkan menghidap penyakit stroke sejak saya di tahun dua di universiti. Hari makin hari, kesihatan ayah kian teruk. Dia tidak lagi mampu berbuat kerja berat. Pernah sekali dia di kejarkan oleh ambulan ke hospital. Sesak nafas. Saya segera membeli tiket pulang ke kampung dari Johor ke Kelantan. Paginya saya sampai bertemu ayah, malamnya saya kembali ke universiti kerana ada ujian. Saya sayangkan ayah.

Detik-detik Terakhir

Tamat pengajian, saya kembali ke kampung. Ingin luangkan lebih lama masa bersama ayah dan ibu. Dan sebenarnya waktu itu saya sudah merasakan sesuatu-seolah-olah waktu bersama ayah sudah hampir berakhir. Ayah memang sudah banyak berubah. Badannya kurus kering. Sayu saya melihat dia. Dia masih mampu berjalan dan menguruskan diri, namun sering sesak nafas dan sakit kepala, dia kelihatan begitu lemah.

Bilik saya bersebelah bilik ayah. Suatu petang ayah memanggil saya, “Za, tengok siapa kat belakang rumah” Dia berdiri di tingkap biliknya. Saya menjenguk dari tingkap bilik saya ke arah yang ditunjukkan. Tiada apa-apa. Arwah masih tidak berpuas hati dan yakin dia melihat seseorang. Jadi saya ke biliknya untuk melihat dari dekat. Tiada apa-apa. Namun ayah masih bersungguh-sungguh, yakin dengan apa yang dia nampak. ”Betul, ada orang putih baju putih belakang pokok.” kata arwah ayah, yakin.

Melihat dia yakin, saya turun lalu pergi ke belakang rumah, tempat yang ditunjukkan. Ternyata tiada. Ayah masih tidak berpuas hati turut ke tempat itu. Kemudian dia tersenyum-senyum. ”Ayah ngigau kot, tak de orang pun.” dia gelak dan saya pun turut gelak.

Saya ceritakan kepada ibu. Kami sama-sama gelak, tapi sebaliknya, jiran saya maklumkan, ibu risau dengan ‘peristiwa’ petang itu. Saya masih tidak dapat tangkap apa-apa.


Bubur Nasi

Pernah suatu petang ayah tiada selera makan, dia mahu makan bubur nasi, lalu saya bersusah payah masakkan bubur nasi untuknya, ada lauk, ada sayur, supaya ayah kembali sihat. Penat saya memasak, saya menjemput arwah makan, namun dia menolak, katanya bukan bubur itu yang dia mahu, saya berkecil hati dan merajuk. Ayah tak sentuh langsung. Rupanya bubur yang dia inginkan adalah bubur nasi bersantan. Saya silap tapi memandangkan saya dah penat masak, banyak pula, saya tidak tunaikan permintaan arwah, hingga kini, saya sangat menyesalinya.

Setelah dua minggu di kampung, saya kembali ke rumah kakak saya. Seminggu saya di rumah kakak. Kemudian kakak dan keluarga balik bercuti di kampung. Saya ikut balik ke kampung sekali lagi. Seminggu kami di kampung. Ayah kelihatan ceria. Anak cucu ada di rumah menghiburkan hatinya. Setelah seminggu di kampung, kami kembali ke Kuala Lumpur.

Berita Sedih

Seminggu di Kuala Lumpur, tiba-tiba kami dikejutkan panggilan oleh ibu jam 12 malam, “Ayah dah tiada”. Kakak menangis teresak-esak. Kemudian memaklumkn kepada saya. Lutut saya tiba-tiba terasa lemah. Saya jatuh terduduk. "Tipu, tipu..ayah ada lagi..” saya ulang berkali-kali. Air mata mengalir laju. Sukar menerima kenyataan itu. Beberapa ketika menangis tersedu-sedu, kakak bangkit bangun dan menyuruh saya mengemas, kakak menelefon adik kami yang tinggal di Shah Alam dan Keramat. Untung ada abang ipar yang masih terkawal emosi. Dia yang banyak membantu dan alhamdulillah dia mampu memandu.

Kami pulang satu kereta. Penuh. Kami keempat-empat beradik semuanya di dalam kereta itu. Dalam perjalanan pulang. Perjalanan mengambil masa lebih lapan jam tapi sedikit pun saya tak dapat lelapkan mata. Saya tidak dapat berhenti menangis. Bukan saya sahaja, kesemuanya teresak-esak bersahutan. Semuanya menangis. Saya tidak boleh berhenti menangis. Wajah ayah terbayang-bayang di fikiran saya. Tak dapat saya gambarkan, hidup ini tanpa ayah. Saya tak mungkin dapat melihat dia ketawa lagi, saya tak mungkin dapat melihat dia lagi. Hati saya benar-benar sedih.

Kami sampai kira-kira jam 10 pagi. Jiran-jiran ramai berkumpul. Kedua adik lelaki saya sempat memandikan jenazah, siap di kafankan, kami diizinkan mengucup arwah seorang demi seorang. Dan giliran saya yang terakhir, saya tidak mampu melakukannya kerana air mata ini terlalu mengalir laju, tidak mahu berhenti.

Kali Terakhir

Lama saya melutut di tepi jenazah, cuba menyeka air mata seketika sebelum mengucup dahi jenazah, susahnya airmata ini hendak berhenti. Puas saya memaksa airmata ini supaya berhenti mengalir kemudian cepat-cepat saya mengucup dahi ayah kerana tidak ingin airmata ini jatuh ke jenazah, dan itulah kali terakhir saya menatap wajah ayah.

Semoga arwah ditempatkan di dalam golongan yang Allah kasihi, semoga Allah mencucuri rahmat buatnya. Semoga Allah mengampunkan segala dosa ayah. Saya sayangkan ayah.

Dan kini, airmata masih tidak berhenti mengalir, basah baju saya sementara menyiapkan cerita tentang ayah. Semoga ayah di tempatkan di dalam golongan yang Allah kasihi. Saya anak ayah, saya sangat sayangkan ayah.

"Ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa aku masih kecil. Amen ya rabbal alamin."

*Dipetik dan disunting daripada http://semut2comel.blogspot.com/

Hargailah insan-insan tersayang selagi mereka masih berada di depan mata kita.

Selamat Hari Bapa.

1 comments:

Tanpa mu ayah, siapalah kami..

Kisah yang betul2 menyentuh jiwa.

moga Allah merahmati ibu bapa umat Islam.

Post a Comment