izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


My Little Princess
Posted (desa06) in Anak-anak on January 21, 2009

Dia hanya berumur 6 tahun, tapi barannya macam orang tua. Pantang salah sikit semua orang diamuknya. Semalam hanya kerana saya terlewat sedikit menjemputnya, dia mengamuk sampai tak ingat dunia. Yang buat saya terkilan, dia mengamuk depan kawan-kawannya. Sampai di rumah, sambung mengamuk lagi, nak makan mee maggi, tak mahu makan nasi. Sedangkan saya terlewat sebab nak masak lunch untuk dia. Alih-alih, dia tak nak makan.

Mengarah saya macam saya ni orang gaji. Air mata saya jatuh juga, tapi masih dapat lagi menahan kesabaran.

Dia buat perangai sejak kecil lagi. Selama itulah saya cuba bersabar. Berdoa semoga dia berubah. Tapi hingga ke saat ini belum nampak perubahan pun.

Dan hari ini dia buat perangai lagi. Turun dari bas sekolah marah-marah. Tinggalkan beg dan lunch begnya di tepi jalan sambil mengarahkan saya membawa balik. Mulutnya membebel marah. Sekali lagi di depan kawan-kawannya. Bila saya lambat masuk ke rumah, dia keluar mencari saya. Sambil marah-marah. Sedangkan saya tak boleh nak berjalan cepat. Mana nak dukung baby sebelah tangan, sebelah tangan lagi heret beg sekolahnya yang berat dekat 10kg tu. Celah ketiak duk kepit lunch beg dan baju sejuknya.

Masuk saja ke rumah, diarahnya saya sediakan makanan untuknya. Kali ini kesabaran saya sudah sampai limit. Dada saya sesak menahan kemarahan. Saya letak baby, letak beg, masuk bilik cari hanger. Tanpa berkata apa-apa, saya pukul kakinya sepenuh hati sampai patah hanger. Dia melalak menangis kesakitan. Suruh saya berhenti. Saya dah naik hantu. Begitu lama saya cuba untuk bersabar dengan kerenahnya. Begitu lama saya menahan malu bila dia mengamuk di public. Selama ini dia tak pernah rasa sakitnya apabila kena pukul.

Saya cuba mencari di mana silapnya saya. Mungkin dia biasa melihat saya dimarahi papanya. Tak kira di mana-mana, di rumah, di dalam kereta. Kadang-kadang hal tiada kaitan dengan saya, saya juga yang tempat papanya meluahkan rasa marah. Dua beranak ni punyai perangai yang sama, tak boleh silap sikit, mesti kena marah. Bila letih, kita juga yang kena marah. Tapi marahnya sekejap saja. Bila okay, mereka jadi baik seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku. Tapi saya terasa hati. Dalam tidur saya menangis. Dalam solat saya mengadu kepada Allah.

Kadang-kadang saya terasa letih sangat berhadapan dengan orang yang punya angin satu badan ni. Cuaca selalu berubah-ubah, kalau pagi panas elok, belum tengahari dah puting beliung. Kalau tengahari hujan lebat, lewat petang elok pula, cuaca bagus untuk pergi berjogging. Susah nak jangka, cuma kita kena sentiasa bersedia.

*Dipetik dan disunting daripada http://blog.dcckmona.com

Luahan hati seorang ibu, mungkin juga luahan hati ibu-ibu yang lain.

Cuba renungkan ke dalam diri sendiri, entah berapa kali kita membuatkan ibu dan ayah 'makan hati' dengan sikap dan perbuatan kita? Mungkin kita tak sedar, mungkin kita tak perasan. Secara diam, ibu dan ayah menjeruk rasa kecewa mereka terhadap kita.

Membaca cerita di atas, membuatkan penulis seolah-olah terpana. Teringat kepada kisah-kisah lama, ketika penulis sering 'memberontak' terhadap ibu dan ayah. Terlalu banyak mengguris hati mereka.

Ya Allah, mampukah aku menjadi anak yang baik?

Selamat Hari Ibu.

1 comments:

din, ni emel kawe... shahmin86.. kawe x dok emel demo nok add ym..

Post a Comment