izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


“Bila kamu nak balik?” Panggilan daripada ibu penulis ketika cuti tahun baru Cina baru-baru ini.

“Hmm, tak balik kot.” Penulis menjawab, agak ragu-ragu.

“Hhh, orang lain semua dah balik. Abang, kakak, Edi, semua dah sampai. Tinggal kamu je seorang lagi.”

“Ye ke? Hmm.. dah, nak buat macam mana, memang tak balik. Maaf ah.”

“Selalu macam ni. Orang lain balik, kamu seorang yang tak balik.” Ibu penulis merungut.

Dan keesokan harinya, penulis menerima mesej SMS daripada kakak penulis.

‘Tak balik ke?’

‘Tak, kenapa?’ Penulis membalas.

“Mak tunggu. Kesian mak.’ Mesej terakhir yang diterima. Betul-betul membuat penulis rasa bersalah. Bersalah yang amat sangat.

Memang, penulis akui, penulis bukanlah seorang anak yang baik. Selalu menimbulkan masalah kepada mak dan ayah. Punyai perasaan memberontak sedari kecil. Sering terlupa untuk menelefon bertanya khabar. Jarang pulang ke kampung menjenguk mereka. Di kala rakan-rakan yang lain pulang ke rumah ketika cuti, penulis lebih senang kekal di kawasan kampus. Menghabiskan masa melakukan aktiviti-aktiviti yang kadang kala langsung tak bermanfaat.

Teringat penulis kepada satu iklan yang disiarkan ketika perayaan Aidilfitri yang lepas. Iklan yang paling menyentuh hati khalayak penontonnya. Iklan yang memaparkan seorang ayah menunjukkan kepada anaknya yang masih kecil tempat-tempat kenangannya semasa tinggal di kampung. Kolam ikan. Bilik dan juga tilam. Kenangannya bersama-sama dengan orang tuanya yang kini sudah tiada. Si anak kecil yang tak memahami, hanya menurut.

Sehinggalah di pagi hari raya, si anak kecil bertanya kepada ayahnya.

“Kenapa kita beraya di rumah atuk dengan nenek tahun ni ayah?”

Si ayah memandang isterinya, kemudian ke arah anaknya.

“Sebab, dulu, masa atuk dengan nenek masih ada, ayah tak pernah balik.” Dengan nada perlahan si ayah menjawab.

“Telefon pun tak?” Spontan keluar dari mulut si anak. Cukup untuk membuatkan si ayah menitiskan airmata. Sebak. Tertunduk dengan perasaan yang sangat menyesal.

Ya Allah, adakah aku pun akan menghadapi situasi sebegini? Minta dijauhkan ya Allah. Berilah aku peluang berbakti kepada mereka secukupnya. Berilah aku peluang menggembirakan mereka. Jangan kau masukkan aku dalam golongan orang-orang yang menyesal. Orang-orang yang rugi. Rugi kerana tidak menjadi anak yang baik. Anak yang menjadi penyejuk mata.

Wahai anak-anak perantau! Luangkanlah masa untuk pulang menjenguk ibu ayahmu. Kalaupun bukan untuk dirimu, pulanglah demi ibu ayahmu. Gembirakan mereka, selagi hayat mereka masih dikandung badan.

3 comments:

good2..mak ayah sangat gembira walau hanya dapat melihat anak2 nya..jadi, biasa2 kan lah menziarahi mereka..

ermm...

for me..waktu zaman belajar ni lah kita ada lebih byk mpeluang nak balik umah jumpa parents..

jadi, bila ada cuti..balik lah...

bila dah keje nanti, kita tak tahu situasinya gane..

so...pulanglah sementara ada peluang... :)

pulanglah....aku raser ada lagu title camni..
rilek la aku pun x slalu balik

Post a Comment