izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


“Eh, Suhaili! Awak nak pergi ke mana ni?” Alex, seorang atheis yang merupakan seorang pengurus di sebuah syarikat, mengajukan soalan kepada seorang pekerjanya yang kebetulan melintas di hadapannya.

Suatu hari, ketika dalam perjalanan pulang, Alex telah melanggar seorang penarik beca. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, penarik beca tersebut sempat melafazkan kalimah syahadah di pangkuan Alex. Mendengar akan lafaz tersebut, pintu hati Alex tersentuh. Perasaannya seolah-olah terganggu dengan ungkapan lafaz tersebut. Pintu hidayah Islam seolah-olah menghampiri dirinya.

“Saya nak ke surau. Nak bersembahyang.” Suhaili, pekerja biasa di syarikat milik Alex, juga merupakan isteri kepada penarik beca yang dilanggar Alex, menjawab dengan suara yang lembut.

“Sembahyang?” Alex seolah-olah terkejut. “Saya sebenarnya hairanlah, kenapa orang Islam kena sembahyang?” Soalan diajukan kepada Suhaili.

“Ini kewajipan yang diperintahkan ke atas kami.” Suhaili menjawab. Tenang.

So, awak sembahyang kerana terpaksa? Agama awak memaksa awak untuk sembahyang, begitu?” Sinis Alex menyatakan pandangan.

“Tak. Kami, orang Islam bersembahyang dengan rela hati, dengan ikhlas, kerana iman kami kepada Allah. Bukan kerana rasa terpaksa.”

“Iman? Apa sebenarnya iman tu?”

“Iman tu sebenarnya keyakinan, kepercayaan.”

“Macam mana awak boleh yakin dan percaya kepada sesuatu yang awak tak nampak?”

Suhaili terkesima dengan soalan yang dikemukan. Nafas yang dalam ditarik, dihembus.

“Minta maaf tuan. Saya bukanlah seorang yang pandai dalam hal-hal sebegini. Tapi, saya nak tanya tuan sesuatu. Tuan sayangkan isteri tuan?” Tenang Suhaili memberi respons.

“Ya, saya sayangkan isteri saya.”

“Boleh tuan jelaskan kepada saya tentang perasaan sayang tersebut.”

Alex terdiam, tergamam.

“Seperti mana rasa kasih, cinta dan sayang, begitulah juga dengan iman. Kita tak boleh nak lihat, tak boleh nak pegang. Tapi, kehadirannya dapat dirasakan dalam hati. Walaupun kami tak nampak Allah, tapi, kami percaya, Dia memang wujud, sedang memerhatikan kami. Kami percaya, dan kami yakin. Perasaan ini, tak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Cuma, kami dapat merasakannya. Merasakannya dalam hati kami.” Dengan tegas Suhaili menjawab.

“Minta maaf tuan. Saya minta izin untuk pergi dulu.” Suhaili meminta izin untuk meneruskan niatnya ke surau.

Alex merebahkan badannya ke kerusi. Matanya dipejam. Nafas yang panjang ditarik. Jawapan yang diberikan membuatkan dirinya termenung. Cahaya iman seolah-olah meresapi ke dalam dirinya.

Dipetik daripada babak dalam drama “Kau Yang Kucinta”, yang pernah disiarkan di RTM2.

0 comments:

Post a Comment