izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna

Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts


(Cerpen didedikasikan khas buat memperingati pembunuhan tragis sukarelawan Amerika, Rachel Aliene Corrie yang mati digilis bulldozer Israel pada 16 Mac 2003)

* * *
Mama, hari ini genap tiga bulan saya di sini. Saya sudah dapat menyesuaikan diri meskipun keadaan benar-benar di luar jangkaan. Mama, di sempadan ini kematian berlaku setiap hari, hingga ia lebih dianggap biasa daripada kehidupan. Tentera-tentera penjajah mengacukan senjata kepada kami siang dan malam.

Saya kirim foto lagi buat tatapan kalian. Biar ia menceritakan segala. Mama, saya rindukan rumah. Tapi maaf, saya belum mahu pulang. Tanah ini mengajar saya erti syukur dan sederhana. Mama, saya rindukan kalian. Peluk cium saya untuk mama, papa, Allen dan Cody juga salam sayang dari teman-teman saya di sini. Sampai bertemu lagi dengan kasih sayang dan kerinduan.

Anakanda Rachel Rafah, Gaza.


* * *

"Triiit....". Rachel menyambar telefon bimbit, lihat nombor Sidney tertera.

"Hei Rach, kami tunggu awak di rumah Encik Sofwan. Jangan lewat ok".

"Ya Sid, saya datang".

Pagi sudah mula memanas. Kejiranan Bir Naema lengang dan senyap-sunyi. Sebahagian besar rumah di situ telah dimusnahkan oleh tentera Yahudi. Hanya sebahagian kecil yang masih tinggal. Anak-anak mereka yang berkeliaran bermain di celah runtuhan berlari mendekat sebaik melihat kedatangan mereka.

"Hei Rachel, kaif Bush?"

"Bush majnoon", sambut Rachel galak dengan gayanya mengundang tawa kumpulan kanak-kanak itu.

Matahari terik memanah ubun-ubun. Rachel menyeka peluh yang meleleh di dahi. Rambut perangnya diikat kasar sambil mendengar perbualan Matt dan Sean sekali lalu. Will berbaring santai di atas pasir sementara dia dan Sidney masih di mulut perigi, mencabut rumput yang tumbuh meliar.

Itulah kerja mereka saban hari, menjaga sumber air penduduk yang sering menjadi sasaran Yahudi untuk diracun. Dari enam telaga yang ada di kawasan itu, empat daripadanya sudah tidak boleh digunakan. Kini perhatian mereka seratus peratus tertumpu kepada dua telaga yang berada di Bir Naema itu.

Pernah mereka didatangi sekumpulan tentera Yahudi dengan selori pasir mahu menimbus perigi itu. Tetapi akhirnya ketegasan dan diplomasi mereka berjaya menyekat niat si penjajah. Sekumpulan tentera itu pergi begitu sahaja. Yahudi sebenarnya pengecut.

Rachel mengimbas kata-kata Ruqayya, anak perempuan Dr. Nasralla yang menjadi keluarga angkatnya di situ. Ruqayya sering menceritakan pengalamannya berdepan dengan tentera Yahudi. Selalu juga dibacakan kisah-kisah Yahudi di dalam al-Quran. Penipu, pengkhianat, pembunuh, semua dilihat kebenarannya di depan mata. Kadang-kadang takjubnya sampai membuat dia terfikir bahawa kitab orang Islam itu benar.

"Malam ni kita semua dipanggil berkumpul di pejabat", Sean bersuara menarik perhatian teman-teman.

"Israel akan lancarkan semula operasi 'pembersihan rumah'. Mungkin Nick akan bahagikan kita ikut kawasan jagaan nanti".

Operasi pemusnahan kediaman penduduk di sempadan Rafah berjalan dengan rancak ketika dia mula tiba di Gaza awal tahun itu. Penduduk yang tidak berdaya melawan hanya mampu melihat rumah mereka ranap di depan mata. Namun operasi itu telah berjaya dihentikan sebulan lepas lantaran menerima tentangan hebat kumpulan mereka. Pihak Yahudi yang bersenjatakan bulldozer agam setinggi bangunan dua tingkat alah dengan mereka yang cuma bersenjatakan pembesar suara. Rumah terakhir yang berjaya mereka selamatkan adalah rumah Dr. Nasralla, ayah angkatnya sendiri.


"Saya sudah mengenalpasti beberapa kawasan yang menjadi sasaran utama Israel. Di setiap kawasan ini saya akan letakkan satu kumpulan kecil yang saya sudah bahagikan".

Rachel kembali ke ruangan sederhana luas itu, ibu pejabat rasmi Gerakan Solidariti Antarabangsa cawangan Gaza. Nicholas, ketua mereka yang berbangsa Jerman tegas memberi taklimat di hadapan.

"Dennis, Tom, Hannah dan Rachel, awak semua di Bir Naema".

Bayu malam awal musim bunga dingin menghembus kulit. Rachel bergulung di dalam selimut lusuh memerhatikan Ruqayya, menghayati bacaan Al-Qurannya di tengah kesenyapan malam. Suaranya biasa-biasa tapi cukup menghadirkan perasaan luarbiasa kepada Rachel yang mendengar penuh takjub.

"Kamu belum tidur?"

Terkejut dia disapa Ruqayya yang entah bila menyudahkan bacaan. Si manis tujuh belas itu meniarap di sebelah, membentang buku sekolahnya yang sudah tidak berkulit.

"Rachel, saya masih tak faham. Kenapa kamu datang ke sini?", seperti biasa gadis bijak itu memulakan topik. "Kamu semua hidup selesa di negara masing-masing, apa yang kamu cari lagi di sini?"

Rachel mengerdip mata. Ah, gadis mentah ini...jiwanya terlalu polos! "Kami tak miliki segalanya, Ruqayya...dan di sini kami temui apa yang kami cari"

"Apa yang kamu cari?" "Kemanusiaan". Ruqayya melongo tak mengerti. "Kamu cari kemanusiaan di tempat yang tiada perikemanusiaan ni?"

Rachel senyum dalam samar lilin. Ruqayya bingkas duduk.

"Kamu semua sukarelawan GSA, Kamu berdiri melindungi rumah-rumah kami dengan tangan kosong...kamu sedar tak dengan siapa kamu berhadapan? Kamu tahu tak kamu gila?".

Rachel bangkit perlahan merenung mata Ruqayya yang berkaca. "Ruqayya, kami datang menentang dangan aman. Kami pertaruhkan status 'antarabangsa' kami untuk melindungi bangsa kamu. Bukankah kita semua warga dunia yang perlu saling membantu?"

Ruqayya tunduk. Bahunya terhinggut-hinggut.

"Rachel, kamu orang Kristian...datang dari jauh untuk menyapu airmata kami...sedangkan saudara Islam kami yang dekat menolong musuh untuk menumpahkan darah kami...". Rachel dijentik pilu. Tubuh kurus Ruqayya didakap ke dada. "Rachel, masuklah Islam. Jadilah saudara kami."

Deruman enjin jentolak bergema dibawa angin. Cukup memberi kepastian akan kemaraan tentera Yahudi mahu memusnahkan kediaman penduduk Gaza. Rachel masih di tepi perigi itu, mengulum gundah. Khuatir akan keselamatan rumah keluarga angkatnya di Haiyu Salam yang menjadi sasaran utama. Matanya merenung ke ufuk.

Pagi tadi dia tidak sempat bertemu Ruqayya. Ruqayya sudah ke sekolah ketika dia bangkit dari lena. Mujur dia sempat meninggalkan nota, harap Ruqayya akan menyimpannya sebagai kenang-kenangan. Kata-kata Ruqayya malam tadi masih berlegar di benak. Masuklah Islam, jadilah saudara kami. Akibatnya dia bermimpi pelik malam tadi.

Mimpi pelik yang indah, dia bertemu bonda Maria yang bertudung litup seperti Ruqayya. Bonda Maria memegang tangannya mesra dan berbisik, "Anakku, Allah cuma satu. Tidak lahir dan tidak melahirkan.". Namun baru hendak memikirkan maksud mimpi itu, panggilan dari Jesse, sukarelawan Kanada membuatnya tersentak.

"Rachel, lekas pulang ke Haiyu Salam. Rumah Dr. Nasralla akan dirobohkan!"

Kejiranan Haiyu Salam heboh. Bunyi dengungan jentolak melantun-lantun di udara. Penduduk mengerumuni rumah Dr. Nasralla melihat para sukarelawan berkumpul menghalang jentolak dari terus mara. Kumpulan sukarelawan yang asalnya berlima mula bertambah. Seorang demi seorang datang bergabung.

"Sila berhenti. Anda tidak berhak memusnahkan harta orang lain", suara Liam, sukarelawan China bergema dari corong pembesar sementara Khaled dan Omar dari Turki mengibar kain rentang gerakan mereka.

Rachel berlari terkocoh-kocoh. Bersyukur dia sempat tiba. Pandangan lantas menerpa wajah Sidney yang berlumur cemas. "Rach, diorang nekad. Seorang remaja dah ditembak. Tak tahulah kali ni dapat selamat ke....."

"Ssyttt...", Rachel menggeleng memotong. Tanpa sepatah kata dia meninggalkan Sidney, segera mendapatkan megafon dari Liam. Darahnya benar-benar mendidih. "Tentera Israel, sila tinggalkan tempat ini. Kami merayu anda, sila berundur sekarang".

Jentolak 300 meter di hadapan mengaum garang. Rachel melambai-lambai saat jentolak itu mara perlahan. "Berhenti! Sila berhenti. Kami dari Gerakan Solidariti Antarabangsa minta anda berhenti sekarang!" Rachel nekad berlutut ke tanah. Tangan didepang ke udara. Hari ini tubuhnya dijadikan perisai. Hannah di belakang memanggil cemas. Begitu juga suara Tom, Will dan teman-teman yang kian tenggelam jauh. Rachel tidak peduli. Yahudi laknat itu sangka cuma mereka ada kehendak?

Ngauman bertukar perlahan. Jentolak berhenti beberapa inci di hadapannya menolak timbunan tanah ke lutut. Rachel bingkas memanjat timbunan itu hingga ke puncak. Jelas dia melihat pemandu jentolak dengan seorang askar Yahudi di dalam kokpit. Tangan dilambai memberi isyarat. "Sila berundur. Kamu faham tak? Berundur sekarang!"

Ruqayya berlari termengah-mengah mendapatkan orang ramai yang mengerumuni rumahnya. Dengan beg sekolah masih di bahu, dia menyusup ke belakang rumah. Terbelalak melihat Rachel di atas timbunan tanah di depan jentolak. Ruqayya menerpa ke tanah lapang tapi segera ditarik Ummu Zainab, jirannya. Jiran-jiran yang lain mula mara mahu mengepung Yahudi-Yahudi itu namun tiba-tiba jentolak bergerak semula melanggar timbunan tanah di depan.

Rachel hilang keseimbangan. Jatuh terbenam. Jentolak bergerak terus. Sidney menjerit haru. Kumpulan aktivis tergamam kaku. Dr. Nasralla menerpa marah. Ruqayya menangis histeria.

Rachel mendengar semuanya sayup-sayup dari bawah jentolak gergasi Caterpillar D9. Dia lihat Bonda Maria dalam mimpinya. Bonda Maria tersenyum manis menghulurkan tangan.

"Anakku, Allah tuhan yang satu. Tidak lahir dan tidak melahirkan. La ilaha illallah."

* * *
Dear Ruqayya, We should be inspired by people like you who show that human beings can be kind, brave, generous, beautiful, strong, even in difficult circumstances. Follow your dreams, believe in yourself and don't give up.

Much love and respect, Rachel from Olympia, Wahington, US.


* * *

Di petik daripada www.iluvislam.com


Cuma nak berkongsi sebuah cerpen hasil tulisan seorang penulis muda berbakat. Cerpen yang menarik, mengandungi lima cerita yang berbeza. Bagi yang rajin membaca, silakan membaca.

Subuh Yang Terakhir
oleh: Tongkat Jibril

Bilakah kali yang terakhir kauucapkan sayang?
Pada insan yang setia berkongsi susah dan senang
Luahkan isi hati andainya sudah ditakdir
Tadi Subuh yang terakhir....


1 "Yah, mana baju aku?" Pekik Salim sambil menghembuskan kepulan asap rokok dari hidungnya. Dia sudah terlewat untuk keluar bekerja. Kelihatan sang isteri terhincut-hincut membawakan sepasang seluar dan baju dari bilik. Wajahnya pucat lesi. Sudah dua hari dia demam panas. Sementelah kakinya pula luka terpijak serpihan kaca pinggan yang dipecahkan anak lelakinya semalam.

"Ini bajunya, bang...." ujar Adawiyah.

"Bodoh! Pemalas betul kau ni. Duduk rumah ni apa yang kaubuat?" Salim menampar wajah isterinya tanpa belas kasihan. Dihamburkan kata cacian yang sudah lali didengar oleh Adawiyah. Sang isteri hanya tunduk memegang pipi yang kemerahan. Tidak berani melawan.

"Kenapa kau tak gosok baju ni?" Sekali lagi Salim melenting bila melihat bajunya berkedut. Dia memandang tajam ke arah Adawiyah sebelum rambut isterinya dicekak pantas. Adawiyah tersentak.

"Tadi terjatuh, bang...." Adawiyah terketar-ketar menahan kesakitan.
"Siapa suruh kaujatuhkan? Kau memang lembap! Menyesal aku kahwin dengan kau! Dasar isteri tak guna, semuanya tak dapat diuruskan dengan baik!" Salim mengherdik lagi. Dia menghempas wajah Adawiyah ke lantai. Terjatuh sang isteri menyembah lantai. Dia teresak-esak menahan kesakitan.

"Nanti aku kahwin dua, baru kau tahu!" Tengking Salim lagi. Dia segera memakai pakaian sebelum menapak keluar dari rumah. Adawiyah hanya membisu, menahan kesakitan. Dia sudah lali begitu. Dibutakan mata, dipekakkan telinga, malah dimatikan hati bila menerima sepak terajang dan herdikan suaminya.

Bukan dia tidak mahu melawan, tapi itulah tempat dia bergantung harap selama-lamanya. Dia tidak kisah dihina, kerana dia juga bukanlah daripada golongan yang berada. Dia mahu menjalankan tanggungjawab kepada suaminya dengan baik. Andai dipukul, boleh diubatkan. Namun, dia tidak mahu suaminya terkilan kerana dia gagal menguruskan makan minumnya. Tidak sekali-kali!


Bila berdekatan kadangnya makin kita leka
Bila berjauhan barulah merindu di dada
Selagi berkesempatan ucapkan terima kasih
Andai esok takkan hadir....


2 Dia termanggu menghadap samudera nan luas. Hatinya merekah dipukul rindu yang mendalam. Rindu pada guru-guru yang pernah mencurahkan ilmu kepadanya sewaktu remaja. Guru-guru yang tidak pernah jemu menasihatinya, baik dalam pelajaran atau kehidupan sehari-harinya. Kini hatinya sepi kembali dengan semua itu.

Dia sunyi.

Jiwanya kosong saban waktu. Tiada kedengaran di telinganya nasihat dan kritikan pedas daripada guru, terutamanya Guru Penolong Kanan HEM, Cik Norliza Ghazali atau mesra dengan panggilan 'Bonda' oleh semua anak didiknya. Tiada kedengaran laungan daripada warden asramanya lagi, terutamanya daripada Cikgu Asmui dan Cikgu Hamir Habeed. Tiada kedengaran laungan arahan kawad daripada Guru Penolong Kanan 1, En Mohd Yunus ketika beratur di perhimpunan pada setiap pagi. Cikgu Azizah dan Cik Yanti, Guru Kimia yang banyak membantunya. Cikgu Asrul yang sering bertikam lidah dengannya kerana cinta monyet yang diperjuangkan oleh remaja sepertinya. Tiada lagi kedengaran keriuhan teman-teman dahulu. Semuanya bergantikan desiran angin pantai yang saban hari dihembuskan padanya!

Pantasnya masa berlalu. Di sekolah sains itu, segala memorinya terpahat kaku. Segenap jiwa dan asmaranya terpateri membeku. Seluruh usaha dan pencapaiannya mengharum di situ. SEMSAS mengabadikan segala kenangan pahit manisnya dahulu. Lima tahun dia mendambakan ilmu di situ dan segalanya telah menjadi sejarah yang abadi kini. Di situ ditemuinya pelbagai suka duka. Di situ diresapi segala manhaj Islam dan ketegasan disiplin yang berguna! Di situ juga dia menemui cinta hatinya yang kini sudah terpisah membawa haluannya. Kata orang, cinta monyet!

Terima kasih guru-guruku! Terima kasih teman, para budiman yang bekerja di dewan makan, menyajikan hidangan terbaik buat kami dahulu. Terima kasih kepada mak cik dan pak cik yang berhempas pulas di bawah terikan mentari, memastikan lapangan ilmu dan asrama itu bersih dan ceria. Terima kasih kepada seluruh warganya! Warga SEMSAS yang penuh dedikasi dan berwibawa! Diri ini tidak akan menjadi sempurna duniawi dan ukhrawi andai kalian semua tidak membantu dengan seikhlas hati!


Jika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerana sayangkan
Dirimu namun di hati mampukah dilupakan?
Taburlah kemaafan jangan sebelum nyawa dipulangkan....


3 Maafkan abang kerana membuatkan dirimu seksa dahulu. Ampunkan dosa abang kerana menyusahkan hatimu, membuatkan air matamu kering kerana selalu menangis dahulu. Kau adik yang baik. Tiada dapat dikecapi segala jasamu padaku sejak dahulu hingga kini. Walaupun dirimu serba kekurangan, namun tidak pernah kaujadikan alasan untuk menjagaku yang terlantar lemah ini.

Si abang memandang sang adik yang sedang menanak nasi di dapur. Air matanya berlinangan. Sang adik yang cacat wajah dan sebelah kaki itu, tidak pernah mengenal erti penat dan jemu menjaganya saban waktu. Tenaganya digunakan mengambil upah membuat kerja kampung, demi mendapatkan sesuap nasi buat abang tersayang.

Kekesalan menyelubungi hati si abang. Terkilan. Mengapa dia begitu zalim ketika sihatnya dulu? Memukul dan mengherdik adik cacatnya yang tidak berdosa setiap kali bertemu? Katanya pada arwah bonda dahulu, dia malu mendapat adik sebegitu. Cacat. Tiada upaya untuk menguruskan diri. Dia tidak ingin pulang ke kampung kerana malu mempunyai saudara sebegitu! Setelah bondanya meninggal, dia ditimpa kemalangan dahsyat. Keretanya bertembung dengan lori. Dia lumpuh. Anak dan isteri menjauhkan diri. Subhanallah!

"Kejap lagi nasi masak, bang! Lepas makan nasi, baru boleh makan ubat. Adik dapat ikan lebih hari ni. Tolong Wak Darman di pekan sehari tadi. Dapatlah abang makan banyak sikit, kan? Baru boleh jalan balik, kan! Hehehe ...." Sang adik berbicara lembut dengan si abang. Dia menghela nafas panjang, sambil mengurut-urut lengan dan bahu abangnya. Kata doktor, pesakit lumpuh sebegitu perlu diurut untuk memastikan badannya tidak keras.

Air mata si abang menangis deras. Dia teresak-esak mendengar bicara adiknya. Allah, mengapa aku begitu zalim sekali dahulu? Mengapa adik yang begitu kubenci selama ini, akhirnya menjadi temanku kini? Maha Suci Engkau yang mentadbir alam, sesungguhnya inilah harta yang paling bernilai buatku!

"Maafkan abang, dik sebab berlaku zalim dengan kau dulu...."

"Adik tak kisah, bang. Dulu lain, sekarang lain, kan?" Adiknya tetap ceria. Si abang tersenyum memandang si adik. Sebentar lagi adiknya akan menyuap makan tengah hari. Setelah itu, dia akan membacakan hadis untuknya sementara menanti solat Zohor. Mereka bersolat jemaah bersama. Alangkah!


Bilakah kali yang terakhir kaukucupi pipi?
Ayah bonda yang tak mungkin kau terbalas budi
Buktikanlah syukurmu bertuahnya kau dilahir
Andai esok takkan hadir....


4 Bondanya terbaring lesu di atas katil. Wajahnya pucat. Ada salur tiub berselirat di hidung dan beberapa bahagian badannya. Nafas kedengaran perlahan, bersulam dengan bunyi detikan mesin penentu kadar denyutan jantung.

Sesekali, mata bonda terbuka. Bonda memandang tegak ke atas. Tiada didengarinya tangisan dan bisikan anak cucu di sisinya. Bonda lemah dalam kelubung putih, menanti masa untuk menjengah ke alam baqa.

Kata doktor, bonda semakin tenat. Peparunya semakin lemah, buah pinggangnya tidak cekap untuk berfungsi lagi hingga terpaksa dimasukkan tiub. Bonda tidak dapat makan dengan sendiri, sebaliknya diberikan tiub makanan untuk memudahkan makanan dimasukkan ke tubuhnya.

Kalau dapat diundurkan masa, ingin sekali dia menjaga bondanya. Kalau boleh diputarkan waktu, ingin sekali dia mengucup dahi bondanya, menyatakan bahawa betapa dia menyayangi srikandi itu. Kalau dapat diubah segala-galanya, dia ingin bondanya sihat kembali, tidak mahu melihat bonda lemah menanti panggilan Ilahi sebegini!

Dia kesal!

Kesal kerana membiarkan bondanya keseorangan di rumah usang. Di kampung yang penghuninya sudah berkurangan. Bonda ditinggalkan kesepian, sendirian mengurus diri. Bonda dibiarkan meniti hari tuanya tanpa limpahan kasih sayang anak-anaknya yang mencecah bilangan sembilan orang. Tanggungjawabnya selaku anak yang paling sulung dilepaskan begitu saja. Tatkala mendapat berita bahawa bondanya terjelepuk menyembah bumi ketika membeli barangan di pekan sehari, barulah semuanya tersedar! Bonda menanggung keperitan penyakit yang ditanggungnya. Alangkah!

Tidak terasa kehangatan linangan air mata mengalir di pipinya. Dia tersedu-sedan. Maafkan along, umi! Maaf kerana tidak menjaga umi sebaik-baiknya. Ampunkan dosa anak derhaka ini kerana terlalu sibuk dengan kerjaya di kota hingga lupa menjenguk bonda di kampung. Ingin sekali dia sujud di kaki bondanya, meminta ampun dan maaf.

Dia menyeka air mata, sebelum merapati bondanya. Kucupan dihadiahkan di pipi dan dahi bondanya. Bonda membuka mata tiba-tiba. Dia melirik ke arah anak sulungnya. Perlahan-lahan anak itu menempel telinga menangkap suara bondanya.

"Bonda maafkan semuanya...." Bonda berbisik sebelum matanya terkatup kembali. Kedengaran syahadah meniti lesu di bibir bonda. Mesin penentu denyutan jantung juga tidak berdetik lagi. Semuanya senyap sunyi. Sepi. Sesepi hati bonda dahulu.


Lihatlah saja isterimu berkorban sepenuh nyawa
Demi menjamin kebahagiaan anak dan suami tercinta
Buktikanlah padanya pilihan jodohmu tepat
Sebelum semua terlewat....


5 "Cepatlah, umi! Dah lewat ni!" Laung si anak sambil memakai kasut kanvas putihnya. Sang ibu melangkah pantas sambil menjinjing bekal makanan buat anaknya. Dia keletihan menguruskan semuanya, namun tiada pernah keluhan dilampiaskan kepada mereka. Semuanya disimpan jauh di lubuk hati. Bukankah itu semua tanggungjawabnya?

"Bekal apa pulak ni?" Soal si anak.

"Bekal makan waktu rehat. Nanti tak payah beli makanan di kantin."

"Ish, tak naklah bawa bekal! Malu...." Mudah saja si anak menolak pemberian ibu tercinta. Tiada pula difikirkan penat lelah ibunya bangun seawal empat pagi, menanak nasi dan menggoreng lauk untuk bekalan anaknya ke sekolah. Dia melangkah pantas meninggalkan halaman rumah. Sang ibu hanya memerhati dengan sorotan mata, sedang bekal di tangan masih hangat terasa.

"Tepi sikit, abang dah lewat ni!" Ujar sang suami dari belakang lalu menolak isteri ke tepi. Dipakainya kasut kulit hitam yang sudah dikilatkan isterinya malam tadi. Selalunya begitu. Dia malas untuk menguruskan segala-galanya. Apa guna ada isteri, kalau tidak melakukan semua kerja rumah tangga?

"Abang nak bekal?" Soal si isteri, lembut.

"Ish, tak payah! Mengarut aje.... ingat saya budak sekolah ke?" Balas suami. Si isteri hanya tunduk sayu. Dia melihat suaminya menghidupkan enjin motosikal. Dia melangkah pantas mendapatkan suaminya untuk bersalaman.

"Hei, tak payahlah bersalam! Abang dah lewat ni!" Tepis sang suami lantas berlalu pergi. Si isteri menahan air mata seboleh mungkin. Hatinya sebak. Dia telah berusaha membahagiakan rumah tangganya, namun anak dan suami seakan tidak menghargai. Bukannya mahu pujian selangit tinggi, namun cukup sekadar ucapan terima kasih meniti di pinggir bibir....

Lafazkan rasa cinta andainya sudah ditakdir
Tadi Subuh yang terakhir....


Biodata:
Tongkat Jibril atau nama sebenarnya, Muhammad Alyas Abul Jalil dilahirkan pada 27 Februari 1989, adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Semsas), Kuantan Pahang. Antara cerpennya yang mendapat tempat dalam media arus perdana ialah Panca Warisan, Minhaj Hakiki, Abang Mus dan Talkin Buat Umi. Novel remajanya, Nobat Kasih diterbitkan Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006 dan kini bergiat sepenuh masa dalam dunia penulisan kreatif.

Dipetik daripada www.bharian.com.my