izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Nama penuh: Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hashim

Nama bapa: 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hashim

Nama ibu: Aminah binti Wahab bin 'Abdul Manaf

Nama datuk: Syaibah bin Hâsyim dikenal dengan nama 'Abdul Muttalib

Bapa-bapa saudara:
• Al-Harith bin Abdul Muthalib
• Muqawwam bin Abdul Muthalib
• Zubair bin Abdul Muthalib
• Hamzah bin Abdul Muthalib
• Al-Abbas bin Abdul Muthalib
• Abu Thalib bin Abdul Muthalib
• Abu Lahab bin Abdul Muthalib
• Abdul Kaabah bin Abdul Muthalib
• Hijl bin Abdul Muthalib
• Dzirar bin Abdul Muthalib
• Ghaidaq bin Abdul Muthalib

Nama ibu susuan Rasulullah:
- Ibu susuan pertama Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
- Ibu susuan kedua Halimah binti Abu Zuaib As-Sa‘diah (lebih dikenali Halimah as-Sa‘diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

Nama isteri pertama dan usia baginda berkahwin:
Khadijah binti Khuwailid al-Asadiyah pada 25 tahun

Nama isteri-isteri Rasulullah:
1. Khadijah bt. Khuwailid al-Asadiyah r.a
2. Saudah bt. Zam'ah al-Amiriyah al Quraisiyah r.a
3. Aisyah bt Abi Bakr r.a (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah bt. Umar bin al-Khattab r.a (anak Saidina 'Umar bin Al-Khattab
5. Ummu Salamah Hindun bt. Abi Umaiyah r.a (digelar Ummi Salamah)
6. Ummu Habibah Ramlah bt. Abi sufian r.a
7. Juwairiyah ( Barrah ) bt. Harith
8. Safiyah bt. Huyay
9. Zainab bt. Jansyin
10. Asma' bt. al-Nu'man al-Kindiyah
11. Umrah bt. Yazid al-Kilabiyah
12. Zainab bin Khuzaimah (digelar 'Ummu Al-Masakin'; Ibu Orang Miskin)

Nama anak-anak Rasulullah:
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra'
8. Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda)[anak tiri Rasulullah]

Pengalaman bekerja Rasulullah:
Semenjak kecil lagi, baginda telah menternak kambing dan berniaga membantu bapa saudaranya.
Abu Talib telah membawa baginda ke Syam (Syria) bagi membantunya berniaga.
Apabila baginda telah agak dewasa, baginda telah mula menjalankan perdagangan baginda sendiri secara kecil-kecilan dan menjalankan perniagaan dengan menggunakan modal orang lain kerana baginda sedar bapa saudaranya bukanlah terdiri daripada orang yang berada dan beliau terpaksa menyara sebuah keluarga yang besar.
Ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, baginda telah pergi ke Syam untuk kali kedua bagi menjalankan perniagaan Sayidatina Khadijah. Bukti Rasulullah adalah seorang ketua keluarga yang patut dicontohi: Rasulullah merupakan seorang yang pengasih.
Sebagai seorang suami, baginda sering membantu isteri menjalankan urusan rumah seperti memasak, menampal pakaian yang koyak, memmbersih rumah dan menjaga anak.
Sebagai seorang bapa, baginda memberi pendidikan agama yang secukupnya dan menjadi seorang contoh yang baik kepada anak-anak.


Gelaran Al-Amin: Baginda merupakan seorang yang jujur, amanah dan budi pekerti. Perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai sehingga baginda diberi gelaran al-Amin oleh masyarakat Arab Quraisy.

Sifat-sifat terpuji Rasulullah:
- Berkata benar (siddiq)
- Boleh dipercayai (amanah)
- Penyampai ajaran Islam (tabliq)
- Bijaksana (fatanah)

Kepimpinan Rasulullah disebalik peristiwa banjir di kota Mekah ketika Rasulullah berusia 35thn: Kota Mekah telah dilanda banjir kilat yang menyebabkan dinding Kaabah pecah dan runtuh. Kaum Quraisy telah membina semula bahagian yang runtuh. Kemudian timbul perbalahan antara ketua kaum Quraisy yang berebut untuk mengangkat dan meletakkan Hajar Aswad di penjuru sebelah timur bangunan Kaabah. Perbalahan ini hampir menimbulkan peperangan. Rasulullah telah menjadi hakim bagi menentukan kedudukan Hajar Aswad dan secara tidak langsung Rasulullah telah meleraikan perbalahan antara ketua kaum Quraisy.

Peristiwa Rasulullah menerima wahyu:
- Wahyu pertama diterima Rasulullah pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Ketika itu Rasulullah berusia 40 tahun.
- Wahyu tersebut diterima baginda di Gua Hirak al-Jabar Nur.
- Surah al-Alaq, wahyu pertama yang berbunyi "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
- Wahyu kedua, surah al-Muddasir (ayat 1-7) diturunkan di Bukit Nur berhampiran Makkah.
- Wahyu kedua ini menandakan pelantikan baginda sebagai Rasulullah atau pesuruh Allah.

Tokoh-tokoh awal memeluk Islam:
• Zaid bin Harithah (anak angkat nabi)
• Ali bin Abu Talib (sepupu nabi berusia 10 tahun)
• Khadijah binti Khuwailid (isteri nabi dan orang pertama memeluk Islam)
• Abu Bakar al-Siddiq (sahabat karib)

Wahyu pertama yangg diterima oleh Rasulullah, masanya dan usia Rasulullah:
- Wahyu pertama iaitu dari surah al-Alaq yang berbunyi "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
- Pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Berusia 40 tahun.

Keadaan Rasulullah ketika menerima wahyu:
Pada suatu ketika sedang dia bertafakkur itu datanglah malaikat kepadanya, lalu berkata: "Bacalah!" (Iqra'). Lalu Rasulullah menjawab; "Saya tidak pandai membaca." Lalu kata beliau: "Maka diambilnya aku dan dipagutnya sampai habis tenagaku. Kemudian dilepaskan¬nya aku dan dia berkata pula: "Bacalah!" Tetapi aku jawab: "Aku tidak pandai membaca!" Lalu dipagutnya pula aku sampai habis pula tenagaku.

Kemudian ditegakkannya aku baik-baik dan dikatakannya pula: "Bacalah!", yang ketiga kali, lalu berkatalah malaikat itu: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menjadikan," sampai kepada ujung "Yang telah mengajarkan kepada manusia apa yang dia tidak tahu." Setelah sampai pada ujung ayat tersebut malaikat itu pun ghaiblah dan tinggallah beliau seorang diri dalam rasa kengerian.

Lalu beliau segera pulang kepada isterinya Khadijah. Lalu beliau berkata: "Selimutilah aku, selimutilah aku." (Zammiluuni, zammiluuni). Maka segeralah orang-orang dalam rumah menyelimuti beliau, sampai rasa dingin itu hilang. Lalu berkatalah beliau kepada Khadijah: "Hai Khadijah, apakah yang telah terjadi atas diriku ini?" Lalu beliau ceriterakan segala yang telah beliau alami itu, akhirnya beliau berkata: "Aku ngeri atas diriku."

Wallahu'alam.

Dipetik dan disunting daripada www.iluvislam.com


Artikel ini disiarkan bersempena dengan kempen "Mari Bersembahyang Berjemaah" yang dianjurkan oleh Biro Kerohanian dan Islamisasi pelajar tahun akhir Kulliyyah Farmasi UIAM.

Subuh Itu Satu Ujian

Sebuah hadis merakamkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya, solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya' dan Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak." (Riwayat Ahmad dan an-Nasa'i)

Secara sedar atau tidak, sebagai orang Islam, kita sebenarnya disuakan dengan sebuah ujian yang amat berat setiap pagi. Solat Subuh. Kenapa? Tidak dinafikan, solat Subuh sememangnya solat wajib yang paling sedikit jumlah rakaatnya. Hanya dua rakaat. Mungkin cuma mengambil masa tidak sampai 2 minit untuk menunaikannya.

Namun, solat Subuh manjadi satu tanda aras tahap keimanan seseorang. Menjadi ujian kepada tahap kejujuran seseorang. Harus diingat, solatnya wajib dikerjakan pada waktu awal pagi, satu waktu yang sememangnya sangat enak untuk mengulit mimpi. Ditambah lagi dengan julat waktunya yang sempit, sekadar dari terbit fajar sampai terbit matahari. Sangat berat ujiannya, sehinggakan tidak ramai yang berjaya melengkapkan kewajipan ini dengan sempurna.

Agak-agaknya, daripada statistik 1.5 bilion umat Islam seluruh dunia, berapa ramai yang setiap harinya diluangkan masa untuk menunaikan solat Subuh? Daripada jumlah ini, berapa ramai pula yang bangkit mengerjakannya dalam waktunya? Dan, berapa ramai pula yang menunaikannya di awal waktu, bukan di pengakhiran waktunya? Dan, berapa ramai pula yang menyahut laungan azan Subuh lalu sanggup meredah kesejukan pagi menuju ke masjid atau surau bagi mengerjakannya secara berjemaah? Sesuatu yang pasti, jumlahnya semakin berkurang, bukan?!

Apabila ditanya, pelbagai alasan yang diberi. Letih, tuntutan kerja yang membebankan, sukar untuk bangun, tak tersedar; alasan-alasan lapuk yang sering dikumandangkan. Sebenarnya, adalah pelik apabila ada orang yang mengatakan, "Susah bagi saya untuk bangun solat Subuh awal-awal. Saya letih, selalu tidur lambat. Nak bangun awal, bukannya senang. Tapi, janganlah bimbang, saya sembahyang juga akhirnya. Cuma lambat sedikit." Seolah-olahnya solat Subuh itu sesuatu yang remeh.

Tetapi, cuba berada dalam suasana yang berikut. Bayangkan, majikan tempat bekerja menyuruh kita datang awal pagi untuk satu tugasan penting, jika gagal hadir, kemungkinan akan dipecat. Ataupun, seorang pelajar diminta menduduki peperiksaan penting di awal waktu pagi, jika gagal hadir, sia-sialah semester yang dijalani. Adakah kita akan bersikap sambil lewa? Semestinya kita akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi tuntutan sebegitu, bukan? Bayangkan juga ketika di suatu awal pagi, tiba-tiba ada pengumuman dibuat menyatakan seorang hartawan hendak membahagikan duitnya yang banyak kepada orang ramai, adakah kita akan melepaskan peluang sebegini? Tidak, pastinya terkocoh-kocoh kita berlari mendapatkan wang yang ditabur itu. Bayangkan juga ketika di suatu awal pagi, ketika kita sedang enak tidur, di tempat kita berlakunya kebakaran. Bahangnya terasa membakar kulit. Adakah kita akan terus tidur membiarkan diri sendiri binasa dimamah api? Penulis jamin, semestinya kita akan lari menyelamatkan diri.

Cuba bandingkan di waktu Subuh yang lain. Jika dalam keadaan-keadaan yang dibayangkan tadi, kita boleh bingkas bangun hatta di waktu awal pagi untuk memenuhi tuntutan kerja dan peperiksaan. Kita sanggup meninggalkan tempat tidur kita mendapatkan duit harta yang diberikan orang, ataupun menyelamatkan diri daripada kebakaran kerana tidak tahan kepanasan api dunia dan takut diri hangus terbakar. Tetapi, di waktu Subuh setiap pagi, mengapa sukar untuk kita bangun? Mengapa sukar untuk menunaikan solat Subuh di awal waktunya? Untuk menyahut seruan azan menunaikannya secara berjemaah di masjid atau surau? Menagapa kita bersikap sambil lewa? Adakah kerana tuntutan solat Subuh yang diperintahkan oleh Pencipta kita itu kurang pentingnya berbanding tuntutan kerja atau peperiksaan? Adakah kerana ganjaran yang dijanjikan Allah tidak seberapa? Adakah kerana panas dibakar api neraka kerana tidak menunaikan solat Subuh tidak sepanas api dunia?

Sesungguhnya, segala permasalahan yang terjadi berpunca daripada kelemahan kita sendiri. Segalanya kembali kepada iman, hati dan kemahuan kita yang lemah dan senang di carik robek hasutan syaitan. Jika kita punya iman yang kuat, hati yang bersih dan kemahuan yang tinggi, bangun di awal pagi untuk segera menunaikan solat Subuh bukanlah satu masalah yang besar. Semuanya berbalik kepada kita. Samaada kita mahu ataupun tidak.

Jika kita sering tidur lewat, mengapa tidak kita tidur awal supaya dapat bangun awal. Jika kita sering tidak terjaga dari tidur, mengapa tidak kita kunci jam atau alarm pada waktu yang sepatutnya? Ataupun berpesan pada rakan-rakan yang selalu bangun awal untuk mengejutkan kita? Selalulah berdoa kepada-Nya, insya Allah, perkara baik akan dipermudahkan-Nya. Yang penting, kuatkan tekad, ikhlaskan hati, hindari berbuat dosa di siang harinya kerana dosa boleh menompokkan titik-titik hitam di hati hingga menyukarkan kita untuk menerima seruan ke arah kebaikan.

Seorang penguasa Yahudi ada berkata, "Kami akan takut kepada umat Islam jika mereka melaksanakan solat Subuh sepertimana mereka melaksanakan solat Jumaat." Bilakah agaknya perkara ini akan menjadi kenyataan?

Islam itu indah, indahkan hidupmu dengannya.

Bersama-samalah kita berusaha mengindahkan hidup kita dengan keindahan Islam.

Wallahua'lam.

*Dipetik dan diringkaskan daripada 'Misteri Shalat Subuh" tulisan Dr. Raghib as-Sirjani, diterjemahkan daripada buku asalnya yang bertajuk "Kaifa Nuhafidzu 'alas Shalati Fajr".

*Penulis juga bukanlah seorang hamba-Nya yang taat. Masih terkapai-kapai mencari keredhaan dan kerahmatan-Nya.

Cuma terasa ingin berkongsi sebuah pengisian yang dibaca.

*Terima kasih kepada Abang Yazam, Ahli Farmasi dan Pengurus Farmasi Manir, kerana mengesyorkan dan sudi meminjamkan buku yang bermanfaat ini.

Artikel-artikel lain yang berkaitan:
Klik di sini
Klik di sini
Klik di sini


Dikisahkan sepasang suami isteri yang bekerja meninggalkan anaknya yang berusia tiga tahun bernama Ita, bersama pembantu rumah di rumah mereka. Lumrah kanak-kanak, pastinya suka mencuba dan membuat sesuatu yang baru. Begitu juga dengan Ita. Pada suatu hari, sambil bermain, dia mencoret-coret tanah di halaman rumah dengan sebatang lidi, sementara pembantu rumah menjemur kain berhampiran dengan tempat letak kereta. Selepas puas mencoret tanah, Ita terjumpa sebatang paku berkarat dan mula pula mencoret-coret kereta bapanya yang berwarna hitam. Kerana masih baru, kereta itu jarang digunakan bapanya untuk ke pejabat. Akhirnya, penuhlah kereta itu dengan coretan gambar hasil tangan Ita.

Apabila bapanya pulang, Ita dengan bangganya menceritakan pada bapanya mengenai gambar-gambar yang dilukisnya pada kereta bapanya itu. Namun, bukan pujian yang diterima, tetapi kemarahan yang sangat dahsyat. Orang pertama yang dimarahi adalah pembantu rumah, kerana dianggap gagal mengawasi Ita di rumah. Kemudian, giliran Ita pula dihukum. Bagi mendisiplinkan anaknya itu, Ita bukan hanya dimarahi dengan kata-kata, tetapi juga dipukul. Kedua-dua belah tapak tangan dan belakang tangan Ita dipukul dengan apa sahaja barang yang didapati oleh bapanya. Mula-mula dengan kayu pembaris, kemudian ranting kayu dan lidi disertai dengan luahan emosi yang tidak dapat dikawal lagi.

"Maaf, abah! Sakit... sakit!" Jerit Ita sambil menahan sakit di tangannya yang sudah mula berdarah. Ibunya hanya mendiamkan diri, seolah-olah merestui tindakan yang dilakukan suaminya.

Selepas puas mengajar anaknya, si bapa menyuruh pembantu rumah membawa Ita masuk ke biliknya. Dengan hati yang sedih dan hiba, pembantu rumah itu membawa Ita ke biliknya. Pada sebelah petangnya, apabila mandi, Ita menjerit-jerit menahan sakit dan pedih. Esok harinya, tangan Ita mulai membengkak, sementara ibu dan bapanya tetap bekerja seperti biasa. Semasa pembantu rumah memberitahu mengenai keadaan Ita, ibunya hanya berkata, "Sapukan ubat krim sahaja!"

Hari berganti hari, hinggalah suhu badan Ita mulai naik kerana luka di tangannya sudah dijangkiti kuman. Ketika diberitahu, ibu bapanya hanya mengarahkan untuk diberi ubat ppenurun panas. Hingga pada suatu malam, suhu badannya semakin panas, sehingga membuatkan Ita meracau-racau. Barulah ibu bapanya kelam-kabut membawa Ita, yang sudah nampak begitu lemah, ke hosital malam itu juga.

Selepas diperiksa, doktor memberitahu yang demam Ita berpunca daripada tangannya yang sudah dijangkiti kuman dan busuk akibat luka-lukanya itu. Selepas seminggu Ita dirawat di hospital, doktor memanggil ibu dan bapanya serta memberitahu mereka, "Tidak ada pilihan lain..."

Doktor mengatakan kedua-dua belah tangan anak mereka perlu dipotong kerana jangkitan yang sudah terlalu parah. "Jangkitan itu sudah bernanah dan membusuk. Bagi menyelamatkan nyawa Ita, tangannya perlu dipotong!"

Mendengar berita yang mengejutkan itu, kedua-dua orang tua Ita bagaikan disambar petir. Dengan air mata yang berjurai dan tangan yang menggeletar, mereka menandatangani surat persetujuan pemotongan tangan anak yang mereka kasihi itu.

Selepas proses pemotongan selesai dan sedar daripada ubat biusnya, Ita terjaga sambil menahan kesakitan dan bingung melihat tangannya yang dibalut kain putih itu. Lebih memeranjatkannya lagi apabila dia melihat kedua-dua ibubapanya dan pembantu rumah menangis di sampingnya. Sambil menahan sakit, Ita berkata kepada ibu bapanya, "Abah, Mama, Ita tidak akan buat lagi. Ita sayang Abah, sayang Mama, juga sayang kakak. Ita minta maaf kerana menconteng kereta Abah!" Kesedihan kedua-dua ibu bapanya semakin bertambah dan mereka tidak dapat menahan air mata mendengar kata-kata Ita itu.

"Abah, tolonglah pulangkan tangan Ita, mengapa Abah ambil? Ita janji tidak buat lagi. Bagaimana Ita nak main dengan kawan-kawan kalau tangan Ita sudah diambil? Mama, tolonglah pulangkan, pinjam sekejap sahaja. Ita nak bersalam dengan Abah, Mama dan kakak, nak minta maaf!"

Namun, penyesalan bagi kedua-dua orang tua Ita sudah tidak ada gunanya lagi, nasi sudah menjadi bubur.

Pengajaran Cerita

Memang ramai orang bangga menghukum seseorang di hadapan orang lain, sama ada hukuman yang berupa teguran mahupun yang merupakan tindakan disiplin. Hukuman yang baik seharusnya bertujuan untuk mengubah tingkah laku yang dihukum dan tidak menghapuskan motivasi ataupun semangat seseorang daripada melakukan yang terbaik bagi dirinya sendiri, keluarga dan juga pekerjaannya.

Namun, yang sering terjadi, hukuman yang diberi lebih bertujuan sebagai pelepasan kekesalan, perasaan marah dan dendam peribadi. Teguran yang diberi lebih kepada mengkritik dan mencaci, daripada membina dan memberi nasihat. Tindakan yang dilakukan lebih kepada memalukan dan menyusahkan, bukannya membentuk dan mendidik. Akibatnya, bukan nilai murni yang disemai, tetapi dendam kesumat yang tersemat. Kebinasaan yang berlaku. Hubungan yang baik akan mula terjejas. Niat asal yang mungkin untuk memperbetulkan, bukan sahaja tidak tercapai, malah memburukkan lagi keadaan.

Seharusnya aqal diguna sebelum menghukum, bukannya nafsu dan emosi yang memandu. Jika tidak, diri sendiri yang lebih rasa terhukum akibat tersilap menghukum. Harus diingat, tiada yang sempurna dalam dunia ini; hanya Allah yang Maha Sempurna. Semua orang melakukan kesilapan, dan kesilapan itulah yang harus dimaafkan terlebih dahulu.

*Dipetik dan disunting daripada "Setengah Berisi, Setengah Kosong?" tulisan Parlindungan Marpaung terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd.


(Cerpen didedikasikan khas buat memperingati pembunuhan tragis sukarelawan Amerika, Rachel Aliene Corrie yang mati digilis bulldozer Israel pada 16 Mac 2003)

* * *
Mama, hari ini genap tiga bulan saya di sini. Saya sudah dapat menyesuaikan diri meskipun keadaan benar-benar di luar jangkaan. Mama, di sempadan ini kematian berlaku setiap hari, hingga ia lebih dianggap biasa daripada kehidupan. Tentera-tentera penjajah mengacukan senjata kepada kami siang dan malam.

Saya kirim foto lagi buat tatapan kalian. Biar ia menceritakan segala. Mama, saya rindukan rumah. Tapi maaf, saya belum mahu pulang. Tanah ini mengajar saya erti syukur dan sederhana. Mama, saya rindukan kalian. Peluk cium saya untuk mama, papa, Allen dan Cody juga salam sayang dari teman-teman saya di sini. Sampai bertemu lagi dengan kasih sayang dan kerinduan.

Anakanda Rachel Rafah, Gaza.


* * *

"Triiit....". Rachel menyambar telefon bimbit, lihat nombor Sidney tertera.

"Hei Rach, kami tunggu awak di rumah Encik Sofwan. Jangan lewat ok".

"Ya Sid, saya datang".

Pagi sudah mula memanas. Kejiranan Bir Naema lengang dan senyap-sunyi. Sebahagian besar rumah di situ telah dimusnahkan oleh tentera Yahudi. Hanya sebahagian kecil yang masih tinggal. Anak-anak mereka yang berkeliaran bermain di celah runtuhan berlari mendekat sebaik melihat kedatangan mereka.

"Hei Rachel, kaif Bush?"

"Bush majnoon", sambut Rachel galak dengan gayanya mengundang tawa kumpulan kanak-kanak itu.

Matahari terik memanah ubun-ubun. Rachel menyeka peluh yang meleleh di dahi. Rambut perangnya diikat kasar sambil mendengar perbualan Matt dan Sean sekali lalu. Will berbaring santai di atas pasir sementara dia dan Sidney masih di mulut perigi, mencabut rumput yang tumbuh meliar.

Itulah kerja mereka saban hari, menjaga sumber air penduduk yang sering menjadi sasaran Yahudi untuk diracun. Dari enam telaga yang ada di kawasan itu, empat daripadanya sudah tidak boleh digunakan. Kini perhatian mereka seratus peratus tertumpu kepada dua telaga yang berada di Bir Naema itu.

Pernah mereka didatangi sekumpulan tentera Yahudi dengan selori pasir mahu menimbus perigi itu. Tetapi akhirnya ketegasan dan diplomasi mereka berjaya menyekat niat si penjajah. Sekumpulan tentera itu pergi begitu sahaja. Yahudi sebenarnya pengecut.

Rachel mengimbas kata-kata Ruqayya, anak perempuan Dr. Nasralla yang menjadi keluarga angkatnya di situ. Ruqayya sering menceritakan pengalamannya berdepan dengan tentera Yahudi. Selalu juga dibacakan kisah-kisah Yahudi di dalam al-Quran. Penipu, pengkhianat, pembunuh, semua dilihat kebenarannya di depan mata. Kadang-kadang takjubnya sampai membuat dia terfikir bahawa kitab orang Islam itu benar.

"Malam ni kita semua dipanggil berkumpul di pejabat", Sean bersuara menarik perhatian teman-teman.

"Israel akan lancarkan semula operasi 'pembersihan rumah'. Mungkin Nick akan bahagikan kita ikut kawasan jagaan nanti".

Operasi pemusnahan kediaman penduduk di sempadan Rafah berjalan dengan rancak ketika dia mula tiba di Gaza awal tahun itu. Penduduk yang tidak berdaya melawan hanya mampu melihat rumah mereka ranap di depan mata. Namun operasi itu telah berjaya dihentikan sebulan lepas lantaran menerima tentangan hebat kumpulan mereka. Pihak Yahudi yang bersenjatakan bulldozer agam setinggi bangunan dua tingkat alah dengan mereka yang cuma bersenjatakan pembesar suara. Rumah terakhir yang berjaya mereka selamatkan adalah rumah Dr. Nasralla, ayah angkatnya sendiri.


"Saya sudah mengenalpasti beberapa kawasan yang menjadi sasaran utama Israel. Di setiap kawasan ini saya akan letakkan satu kumpulan kecil yang saya sudah bahagikan".

Rachel kembali ke ruangan sederhana luas itu, ibu pejabat rasmi Gerakan Solidariti Antarabangsa cawangan Gaza. Nicholas, ketua mereka yang berbangsa Jerman tegas memberi taklimat di hadapan.

"Dennis, Tom, Hannah dan Rachel, awak semua di Bir Naema".

Bayu malam awal musim bunga dingin menghembus kulit. Rachel bergulung di dalam selimut lusuh memerhatikan Ruqayya, menghayati bacaan Al-Qurannya di tengah kesenyapan malam. Suaranya biasa-biasa tapi cukup menghadirkan perasaan luarbiasa kepada Rachel yang mendengar penuh takjub.

"Kamu belum tidur?"

Terkejut dia disapa Ruqayya yang entah bila menyudahkan bacaan. Si manis tujuh belas itu meniarap di sebelah, membentang buku sekolahnya yang sudah tidak berkulit.

"Rachel, saya masih tak faham. Kenapa kamu datang ke sini?", seperti biasa gadis bijak itu memulakan topik. "Kamu semua hidup selesa di negara masing-masing, apa yang kamu cari lagi di sini?"

Rachel mengerdip mata. Ah, gadis mentah ini...jiwanya terlalu polos! "Kami tak miliki segalanya, Ruqayya...dan di sini kami temui apa yang kami cari"

"Apa yang kamu cari?" "Kemanusiaan". Ruqayya melongo tak mengerti. "Kamu cari kemanusiaan di tempat yang tiada perikemanusiaan ni?"

Rachel senyum dalam samar lilin. Ruqayya bingkas duduk.

"Kamu semua sukarelawan GSA, Kamu berdiri melindungi rumah-rumah kami dengan tangan kosong...kamu sedar tak dengan siapa kamu berhadapan? Kamu tahu tak kamu gila?".

Rachel bangkit perlahan merenung mata Ruqayya yang berkaca. "Ruqayya, kami datang menentang dangan aman. Kami pertaruhkan status 'antarabangsa' kami untuk melindungi bangsa kamu. Bukankah kita semua warga dunia yang perlu saling membantu?"

Ruqayya tunduk. Bahunya terhinggut-hinggut.

"Rachel, kamu orang Kristian...datang dari jauh untuk menyapu airmata kami...sedangkan saudara Islam kami yang dekat menolong musuh untuk menumpahkan darah kami...". Rachel dijentik pilu. Tubuh kurus Ruqayya didakap ke dada. "Rachel, masuklah Islam. Jadilah saudara kami."

Deruman enjin jentolak bergema dibawa angin. Cukup memberi kepastian akan kemaraan tentera Yahudi mahu memusnahkan kediaman penduduk Gaza. Rachel masih di tepi perigi itu, mengulum gundah. Khuatir akan keselamatan rumah keluarga angkatnya di Haiyu Salam yang menjadi sasaran utama. Matanya merenung ke ufuk.

Pagi tadi dia tidak sempat bertemu Ruqayya. Ruqayya sudah ke sekolah ketika dia bangkit dari lena. Mujur dia sempat meninggalkan nota, harap Ruqayya akan menyimpannya sebagai kenang-kenangan. Kata-kata Ruqayya malam tadi masih berlegar di benak. Masuklah Islam, jadilah saudara kami. Akibatnya dia bermimpi pelik malam tadi.

Mimpi pelik yang indah, dia bertemu bonda Maria yang bertudung litup seperti Ruqayya. Bonda Maria memegang tangannya mesra dan berbisik, "Anakku, Allah cuma satu. Tidak lahir dan tidak melahirkan.". Namun baru hendak memikirkan maksud mimpi itu, panggilan dari Jesse, sukarelawan Kanada membuatnya tersentak.

"Rachel, lekas pulang ke Haiyu Salam. Rumah Dr. Nasralla akan dirobohkan!"

Kejiranan Haiyu Salam heboh. Bunyi dengungan jentolak melantun-lantun di udara. Penduduk mengerumuni rumah Dr. Nasralla melihat para sukarelawan berkumpul menghalang jentolak dari terus mara. Kumpulan sukarelawan yang asalnya berlima mula bertambah. Seorang demi seorang datang bergabung.

"Sila berhenti. Anda tidak berhak memusnahkan harta orang lain", suara Liam, sukarelawan China bergema dari corong pembesar sementara Khaled dan Omar dari Turki mengibar kain rentang gerakan mereka.

Rachel berlari terkocoh-kocoh. Bersyukur dia sempat tiba. Pandangan lantas menerpa wajah Sidney yang berlumur cemas. "Rach, diorang nekad. Seorang remaja dah ditembak. Tak tahulah kali ni dapat selamat ke....."

"Ssyttt...", Rachel menggeleng memotong. Tanpa sepatah kata dia meninggalkan Sidney, segera mendapatkan megafon dari Liam. Darahnya benar-benar mendidih. "Tentera Israel, sila tinggalkan tempat ini. Kami merayu anda, sila berundur sekarang".

Jentolak 300 meter di hadapan mengaum garang. Rachel melambai-lambai saat jentolak itu mara perlahan. "Berhenti! Sila berhenti. Kami dari Gerakan Solidariti Antarabangsa minta anda berhenti sekarang!" Rachel nekad berlutut ke tanah. Tangan didepang ke udara. Hari ini tubuhnya dijadikan perisai. Hannah di belakang memanggil cemas. Begitu juga suara Tom, Will dan teman-teman yang kian tenggelam jauh. Rachel tidak peduli. Yahudi laknat itu sangka cuma mereka ada kehendak?

Ngauman bertukar perlahan. Jentolak berhenti beberapa inci di hadapannya menolak timbunan tanah ke lutut. Rachel bingkas memanjat timbunan itu hingga ke puncak. Jelas dia melihat pemandu jentolak dengan seorang askar Yahudi di dalam kokpit. Tangan dilambai memberi isyarat. "Sila berundur. Kamu faham tak? Berundur sekarang!"

Ruqayya berlari termengah-mengah mendapatkan orang ramai yang mengerumuni rumahnya. Dengan beg sekolah masih di bahu, dia menyusup ke belakang rumah. Terbelalak melihat Rachel di atas timbunan tanah di depan jentolak. Ruqayya menerpa ke tanah lapang tapi segera ditarik Ummu Zainab, jirannya. Jiran-jiran yang lain mula mara mahu mengepung Yahudi-Yahudi itu namun tiba-tiba jentolak bergerak semula melanggar timbunan tanah di depan.

Rachel hilang keseimbangan. Jatuh terbenam. Jentolak bergerak terus. Sidney menjerit haru. Kumpulan aktivis tergamam kaku. Dr. Nasralla menerpa marah. Ruqayya menangis histeria.

Rachel mendengar semuanya sayup-sayup dari bawah jentolak gergasi Caterpillar D9. Dia lihat Bonda Maria dalam mimpinya. Bonda Maria tersenyum manis menghulurkan tangan.

"Anakku, Allah tuhan yang satu. Tidak lahir dan tidak melahirkan. La ilaha illallah."

* * *
Dear Ruqayya, We should be inspired by people like you who show that human beings can be kind, brave, generous, beautiful, strong, even in difficult circumstances. Follow your dreams, believe in yourself and don't give up.

Much love and respect, Rachel from Olympia, Wahington, US.


* * *

Di petik daripada www.iluvislam.com


Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila kamu melihat Allah s.w.t. memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu mebuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah disitidrajkan oleh Allah." (Riwayat at-Tabrani, Ahmad dan al-Baihaqi)

Manusia yang derhaka dan sering berbuat maksiat selalu terkeliru dengan pemikirannya apabila mereka merasakan nikmat yang datang kepada mereka adalah kerana Allah s.w.t. merelakan perbuatan maksiat yang mereka lakukan. Manusia istidraj adalah manusia yang lupa bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Walaupun diberikan begitu banyak nikmat oleh Allah, namun mereka tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Anggapan mereka, Allah merestui apa yang mereka sedang lakukan. Orang-orang yang beramal soleh dipandang hina, apatah lagi jika golongan ahli ibadah itu tidak semewah atau sesenang mereka.

Ada di kalangan mereka yang berkata, "Dia itu, siang dan malam beribadah di masjid, tetapi basikal pun tidak mampu dibeli. Sedangkan aku yang setiap malam berseronok di kelab-kelab malam, hidup dengan kemewahan. Aku tidak pernah beribadah, tetapi rezeki datang mencurah-curah. Kalaulah dia itu seperti aku, tentu dia juga boleh hidup mewah."

Meneliti pada sejarah, ramai manusia yang dikurniakan Allah dengan rezeki yang melimpah-ruah, tetapi mereka ingkar bahkan kufur kepada Allah. Firaun, Namrud, Qarun; kesemuanya diberikan kekayaan yang tidak terfikir di akal. Malangnya, mereka telah berlaku curang kepada Allah. Bahkan lebih teruk lagi, ada yang mengaku bahawa merekalah Tuhan sekalian alam. Kenikmatan dunia sungguh telah menjadikan mereka sombong dan angkuh. Akhirnya, mereka dibinasakan Allah dengan penuh keaiban. Namrud tewas kepada nyamuk, Firaun lemas ditenggelami lautan, manakala Qarun lenyap ditelan Bumi.

Jika kita kaji dan fikir sedalam-dalamnya, pasti akan terjawab segala persoalan yang mengganggu fikiran kita, mengapa orang yang kafir boleh hidup kaya, dan orang yang berbuat maksiat boleh hidup senang dan mewah. Ternyata, pemberian Allah kepada mereka bukanlah sesuatu yang diredhai-Nya. Semua itu adalah 'perangkap' yang disediakan oleh Allah, bertujuan untuk menghancurkannya apabila tiba masanya kelak. Allah tidak meredhai kehidupan mereka. Alangkah sia-sianya hidup jika tidak mendapat keredhaan Allah.

Lantaran itu, umat Islam sentiasa diingatkan supaya tidak leka dengan segala nikmat yang diperoleh. Sesungguhnya, apa sahaja yang dinikmati adalah pinjaman semata-mata daripada Allah, bila-bila masa sahaja nikmat itu boleh ditarik balik.

*Dipetik dan diolah daripada "Tundukkan Hati: Rahsia Keikhlasan Hidup Di Dunia Fana" tulisan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Annual Bakhri Haron terbitan Anbakri Publika Sdn. Bhd.