izzuddinmohd.blogspot.com

berkongsi kerana cakna


Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila kamu melihat Allah s.w.t. memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu mebuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah disitidrajkan oleh Allah." (Riwayat at-Tabrani, Ahmad dan al-Baihaqi)

Manusia yang derhaka dan sering berbuat maksiat selalu terkeliru dengan pemikirannya apabila mereka merasakan nikmat yang datang kepada mereka adalah kerana Allah s.w.t. merelakan perbuatan maksiat yang mereka lakukan. Manusia istidraj adalah manusia yang lupa bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Walaupun diberikan begitu banyak nikmat oleh Allah, namun mereka tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Anggapan mereka, Allah merestui apa yang mereka sedang lakukan. Orang-orang yang beramal soleh dipandang hina, apatah lagi jika golongan ahli ibadah itu tidak semewah atau sesenang mereka.

Ada di kalangan mereka yang berkata, "Dia itu, siang dan malam beribadah di masjid, tetapi basikal pun tidak mampu dibeli. Sedangkan aku yang setiap malam berseronok di kelab-kelab malam, hidup dengan kemewahan. Aku tidak pernah beribadah, tetapi rezeki datang mencurah-curah. Kalaulah dia itu seperti aku, tentu dia juga boleh hidup mewah."

Meneliti pada sejarah, ramai manusia yang dikurniakan Allah dengan rezeki yang melimpah-ruah, tetapi mereka ingkar bahkan kufur kepada Allah. Firaun, Namrud, Qarun; kesemuanya diberikan kekayaan yang tidak terfikir di akal. Malangnya, mereka telah berlaku curang kepada Allah. Bahkan lebih teruk lagi, ada yang mengaku bahawa merekalah Tuhan sekalian alam. Kenikmatan dunia sungguh telah menjadikan mereka sombong dan angkuh. Akhirnya, mereka dibinasakan Allah dengan penuh keaiban. Namrud tewas kepada nyamuk, Firaun lemas ditenggelami lautan, manakala Qarun lenyap ditelan Bumi.

Jika kita kaji dan fikir sedalam-dalamnya, pasti akan terjawab segala persoalan yang mengganggu fikiran kita, mengapa orang yang kafir boleh hidup kaya, dan orang yang berbuat maksiat boleh hidup senang dan mewah. Ternyata, pemberian Allah kepada mereka bukanlah sesuatu yang diredhai-Nya. Semua itu adalah 'perangkap' yang disediakan oleh Allah, bertujuan untuk menghancurkannya apabila tiba masanya kelak. Allah tidak meredhai kehidupan mereka. Alangkah sia-sianya hidup jika tidak mendapat keredhaan Allah.

Lantaran itu, umat Islam sentiasa diingatkan supaya tidak leka dengan segala nikmat yang diperoleh. Sesungguhnya, apa sahaja yang dinikmati adalah pinjaman semata-mata daripada Allah, bila-bila masa sahaja nikmat itu boleh ditarik balik.

*Dipetik dan diolah daripada "Tundukkan Hati: Rahsia Keikhlasan Hidup Di Dunia Fana" tulisan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Annual Bakhri Haron terbitan Anbakri Publika Sdn. Bhd.



Pada suatu hari, seorang budak lelaki miskin yang hidup sebagai penjual barangan dari pintu ke pintu dan biasanya menjual di kawasan-kawasan perumahan, kehabisan wang. Pada masa itu, rasa lapar menyengat dirinya. Tika sampai di sebuah rumah, budak itu memutuskan untuk meminta sedikit makanan. Namun, segala hajat dan keberaniannya hilang apabila melihat seorang wanita muda membuka pintu. Budak itu hanya meminta segelas air untuk menghilangkan rasa dahaganya. Wanita itu memandang budak itu, sayu. "Pasti dia lapar," hati wanita itu bergumam.

Wanita itu masuk ke rumahnya. Seketika kemudian, dia keluar membawa segelas besar susu. Dihulurkan dengan penuh kasih sayang kepada budak yang bertandang ke rumahnya. Budak itu mengambil dan meminum susu yang diberi perlahan-lahan. Dia bertanya, "Berapa saya perlu bayar untuk segelas susu ini?"

"Kamu tidak perlu membayar apa-apa pun, ibu bapa kami dahulu sering mengajar kami supaya tidak meminta bayaran dan balasan sekiranya melakukan sesuatu kebaikan." Wanita itu menjawab, tersenyum.

Budak itu menghabiskan susunya. "Terima kasih untuk susu yang diberikanmu," kata budak tersebut. Hatinya berbisik, "Jauh dari dalam hatiku, aku berasa sungguh terharu atas kebaikan wanita ini. Sungguh, dia tidak sombong walaupun dia seorang yang senang!" Saat anak kecil yang miskin itu meninggalkan rumah wanita muda yang disinggahinya, dia bukan hanya merasa badannya lebih segar, tetapi keyakinannya pada Allah dan sesama manusia menjadi lebih kuat. Sebelumnya dia sudah berputus asa dan hampir menyerah dengan takdir hidupnya yang miskin.

Masuk Hospital

Beberapa puluh tahun berlalu, wanita muda itu, yang kini lanjut usianya, menghidap satu penyakit yang agak serius dan kritikal. Doktor-doktor di hospital daerah tidak lagi mampu mengubati penyakitnya, apalagi pada masa itu dia menjadi seorang janda yang hanya menerima pencen suaminya yang bekerja di stesen kereta api. Atas cadangan keluarganya, wanita itu dipindahkan ke hospital di bandar bagi menjalani pemeriksaan lanjut. Namun, penyakitnya masih tidak dapat diubati. Akhirnya, selepas menjual segala barang-barang miliknya, ditambah dengan bantuan daripada sahabat-sahabatnya yang lain, wanita itu dibawa ke ibu kota bagi menerima rawatan yang lebih rapi daripada doktor pakar.

Ketika di sebuah hospital di ibu kota, seorang doktor pakar dipanggil supaya melakukan pemeriksaan ke atas wanita itu. Semasa mendengar nama kampung asal wanita itu, doktor itu kelihatan terkejut. Dengan segera, dia bergegas turun ke kamar wanita itu. Dengan sekali pandang sahaja, di terus mengenali wanita itu. Wanita yang pernah memberinya segelas susu di waktu dia kelaparan dulu. Dia memutuskan dan bertekad untuk melakukan yang terbaik untuk membantu merawat wanita tersebut.

"Yang penting, wanita itu mesti sembuh." Begitulah janji doktor tersebut. Mulai dari hari itu, wanita tua yang terbaring lemah mendapat perhatian doktor pakar itu dengan penuh kasih sayang yang tulus ikhlas. Selepas tiga bulan berada di hospital, dengan izin Allah, akhirnya dia pulih seperti sedia kala.

Bil Rawatan Perubatan

Selesai rawatan, pihak hospital mengeluarkan bil-bil pembiayaan perubatan untuk wanita itu. Saat menerima bil-bil itu, wanita itu dirundung gundah. Dengan rasa gelisah, dia memberanikan diri membaca bil-bil yang diperoleh. Tertera dengan terperinci jumlah bayaran yang perlu dibayarnya. Tinggi jumlahnya, tidak termampu untuk dibayar oleh wanita itu. Semenjak perniagaan yang dibina bersama arwah suaminya menempuh kegagalan kerana ditipu orang, dia jatuh miskin. Tambahan lagi, satu-satunya anaknya masih belum bekerja. Sungguh, dia tiada kemampuan untuk melunaskan bayaran yang dikenakan.

Tika masih lagi meneliti bil-bil yang diberikan pihak hospital, ada sesuatu yang menarik perhatian wanita itu, tertulis pada hujung salah satu lembaran bil yang dipegangnya. Dia membaca tulisan tersebut, "Telah selesai dibayar dengan segelas besar susu.". Tertera juga nama doktor pakar yang merawatnya, seorang doktor yang dulunya budak miskin yang pernah minum segelas susu di rumahnya.

Air mata mengalir dari matanya. Terharu dengan pertolongan yang diberikan. Hatinya yang bahagia mengucapkan doa dan pujian, "Terima kasih ya Allah, kasih-Mu telah memancar melalui hati dan tangan manusia."


Pengajaran Cerita

Kadang-kadang, kita terlupa akan kebaikan yang pernah kita lakukan, tapi Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak pernah lupa. Dia akan membalasnya pada waktu yang kita tidak menyangkanya.

Sekiranya ditanya, apakah yang membuatkan manusia menjadi sangat bahagia? Mungkin jawapan yang paling tepat adalah dengan memberikan kebahagiaan kepada orang lain. Memberi sememangnya lebih indah daripada menerima. Dengan memberi, dapat mewujudkan rasa rendah hati di hadapan Allah, dapat memberikan kebahagiaan yang kekal abadi baik pada yang menerima mahupun pada yang memberi. Kini, sudah tiba masanya untuk kita memberi dan berkongsi semampunya apa yang kita miliki dengan orang lain. Bukankah sebahagian daripada apa yang kita miliki saat ini milik orang-orang yang lebih memerlukannya dan memang sepatutnya kita berikan kepada mereka?

*Dipetik dan disunting daripada "Segelas Berisi, Segelas Kosong?" tulisan Parlindungan Marpaung terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd.



"Saya tak layak menghuni Syam. Bumi ini sangat mulia, bakal dipijak oleh Imam Mahdi, imam yang dinanti-nanti." Syabab mengemukakan alasan kepada Syeikh Sobir.

"Sepatutnya kamu bercita-cita nak dekat dengannya." Syeikh Sobir tidak dapat menerima alasan kata-kata Syabab.

"Ya. Malah, saya berdoa layak menjadi tenteranya. Namun sekarang, saya perlu bersama bangsa saya. Siapa nak ingatkan mereka tentang fitnah akhir zaman?" Syabab mengemukakan hujah baru.

"Kamu tahu apa yang terjadi di Syria di akhir zaman?" Uji Syeikh Sobir.

"Bumi suci ini bakal diperintah oleh al-Sufyani, penguasa zalim. Dia akan hantar tentera ke Makkah untuk bunuh Imam Mahdi yang baru dibai'ah. Akhirnya, mereka ditelan bumi di al-Baida, satu tempat dekat dengan Madinah," jawab Syabab lancar.

Syabab mendapat maklumat itu daripada seorang Syeikh di Jami' Abdullah bin Rawahah. Syeikh Sobir mengangguk kemudiannya bertanya, "Lagi?"

Syabab menggelengkan kepala. Tidak banyak maklumat yang diketahui.

Syeikh Sobir lalu menambah, "Selepas itu, bangsa Rom masuk ke A'maq atau Dabiq, satu kawasan yang dekat dengan bandar Halb (Aleppo) Utara Syria. Bersempadan dengan Turki. Imam Mahdi dan tenteranya akan datang menumpaskan pencerobohan itu."

Maklumat itu menyebabkan Syabab terlopong. Dia bagaikan tidak percaya Bandar Halb pernah dijejaki kedua-dua kakinya.

"Allah memelihara Syria," ujar Syabab. Syeikh Sobir mengaminkan.

"Tahukah kamu? Dajjal sedang dirantai di Kepulauan di Laut Syria iaitu Laut Tengah atau Laut Yaman."

Mata Syabab terbeliak mendengar bicara Syeikh Sobir. Bulu romanya tegak berdiri.

"Betul?" Syabab minta kepastian, bukan kerana tidak percaya tapi lantaran terkejut.

"Perkara akhir zaman termasuk dalam perkara ghaib. Mana boleh bercakap dengan andaian akal sendiri. Mesti ada sandaran yang tepat. Hal ini ada dalam hadis sahih Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi. Ini hadis daripada Fatimah binti Qois r.a. Kamu harus baca hadis-hadis tentang akhir zaman. Dajjal muncul ketika kita lupa tentang kedahsyatan firnahnya." Peringatan Syeikh Sobir kedengaran tegas.

"Dari mana ia akan keluar?" Syabab berminat untuk mengetahui lebih lanjut. Bahasa Arabnya lancar.

"Dari Timur. Sama ada dari Khurasan atau Asfahan atau suatu tempat antara Iraq dan Syria. Riwayat ini tak bertentangan. Boleh jadi ia keluar dari Khurasan, mengumpul pengikut dari Yahudi Asfahan lalu masuk ke tempat antara Iraq dan Syria." Dada Syeikh SObir sarat dengan ilmu dan maklumat. Syabab kagum.


"Saya berlindung dengan Allah daripada menemuinya." Syabab berdoa.

"Ya. Rasulullah s.a.w. sendiri mengajar kita mohon dijauhkan daripadanya dalam doa selepas bacaan tahiyat akhir. Fitnahnya terlampau dahsyat. Hinggakan semua Nabi dari Adam sampai Muhammad disuruh mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Hanya sedikit yang dapat mempertahankan keimanan," ujar Syeikh Sobir serius.

"Bagaimana doa dalam tahiyat akhir tu?" Syabab melonjak inginkan kepastian.

"Oh, anak muda! Kasihan sekali. Kamu baru dengar tentang doa ini?" Syeikh Sobir geleng kepala.

Syabab diam. Dia bertanya bukan kerana tidak tahu tetapi untuk memastikan sama ada doa yang diamalkannya sama atau tidak dengan doa yang dimaksudkan oleh gurunya.

"Benarlah manusia makin lupa tentang bahaya Dajjal hingga kurang menyediakan diri untuk menghadapinya. Tapi kamu belum terlambat hai pemuda. Pastikan kamu mencari doa itu." Syeikh Sobir memberi tugasan.

"Syeikh, boleh betulkan bacaan saya kalau tersilap," pinta Syabab. Dia membaca doa yang pernah dihafaz saat itu juga.

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada seksa neraka Jahanam. AKu berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur. Aku berlindung kepada-Mu daripada fintah Dajjal yang pembohong. Aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah hidup dan fitnah mati. AKu berlindung kepada-Mu daripada banyaknya dosa dan hutang. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejelekan fitnah kaya dan kejelekan fitnah fakir. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejelekan pendengaran, penglihatan, lisan dan hatiku. Aku berlindung kepada-Mu daripada dikembalikan kepada umur yang terlalu tua. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada mati dalam keadaan ingkar kepada agama-Mu."

"Jangan lupa juga baca dan hafaz sepuluh awal dan akhir surah al-Kahfi. Ada dalam hadis riwayat Muslim," pesan Syeikh SObir. Syabab lega kerana dia telah lama mengamalkannya. Lebih-lebih lagi, amalan itu daripada sumber yang sahih.

"Syeikh, Nabi Isa akan turun membunuh Dajjal kan?!" Syabab berminat berbual lanjut soal itu.

"Betul. Baginda akan turun di sisi Menara Putih sebelah Timur Damsyik, Syria. Rasulullah s.a.w. sebut dalam hadis riwayat Muslim. Imam al-Barzanji menyebut, setelah itu, selepas Zuhur, Baginda akan ke Baitul Maqdis. Di situ, Baginda menemui Imam Mahdi ketika solat Subuh, pagi kedua." Syeikh Sobir menarik nafas. Ada garis gelisah di wajahnya mengenangkan dahsyatnya peristiwa akhir zaman.

"Subhanallah! Syria benar-benar bumi berkat." Wajah Syabab penuh takjub. Syeikh Sobir mengharapkan pemuda itu berubah fikiran untuk tetap tinggal di Syria.

"Syeikh, peristiwa ini sangat penting. Saya perlu pulang memberi peringatan pada kaum saya." Demikian keyakinan Syabab, Syeikh Sobir tidak mampu lagi menghalang. Malah, dia memuji semangat pemuda itu.

"Pulanglah pemuda. Mungkin kamu lebih diperlukan di sana. Jangan lupa menghantar berita selalu ke Damsyik dengan e-mel. Damsyik akan mengenang dirimu." Kata-kata Syeikh Sobir membuatkan Syabab berasa amat terharu. Kolam matanya bergenang.

Wallahua'lam.

*Dipetik daripada "Syabab Musafir Kasih" tulisan Fatimah Syarha Mohd. Noordin terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.



Sebagai seorang Muslim, sememangnya dituntut untuk melakukan banyak amalan-amalan sunat sebagai bonus tambahan kepada amalan-amalan wajib. Untuk fakta, terdapat beberapa solat sunat yang sangat dituntut untuk dilakukan (muakad). Kejayaan menunaikannya dengan konsisten, ikhlas, khusyuk dan tawadho' dijanjikan dengan pahala dan fadhilat yang besar di sisi Allah. Antara solat-solat sunat muakad, yang sangat dituntut untuk dilakukan setiap hari adalah:

1. Solat Sunat Rawatib (10 Rakaat)

Dari Ibnu Umar r.a. berkata, "Aku menjaga 10 rakaat dari Nabi s.a.w.; 2 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat sesudah solat Maghrib, 2 rakaat sesudah solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh (solat sunat Fajar)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

'Aisyah r.a. dalam sebuah hadis menyatakan, "Tidak ada nafilah (solat sunat) yang sangat dijaga pelaksanaannya oleh Nabi s.a.w. melebihi dua rakaat solat sebelum Fajar." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada ulama' yang mengatakan bahawa solat sunat Fajar dan solat sunat Qabliyyah Subuh adalah solat yang sama, ada juga yang berpendapat mereka adalah dua solat yang berbeza. Wallahu'alam.

2. Solat Sunat Dhuha (2 Rakaat)

Daripada Abu Hurairah r.a., sabda Nabi s.a.w., "Telah berpesan kepadaku temanku (Rasulullah s.a.w.) tiga macam pesanan; puasa 3 hari setiap bulan, sembahyang Dhuha 2 rakaat dan sembahyang witir sebelum tidur." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Waktu mengerjakannya adalah ketika matahari sedang naik (selepas matahari terbit hingga sebelum matahari tegak di atas kepala).

3. Solat Sunat Witir (1 Rakaat)

Sebuah hadis berbunyi, "Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Dia menyukai witir. Maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli Al-Quran." (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Ditunaikan sekurang-kurangnya satu rakaat sebelum tidur.

4. Solat Sunat Tahajjud (2 Rakaat)

"Dan bangunlah pada sebahagian malam serta kerjakanlah tahajjud di waktu itu sebagai solat tambahan, semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat terpuji."(Surah al-Isra’: 79)

5. Solat Sunat Taubat (2 Rakaat)

Dari Ali k.w.j., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidaklah seseorang melakukan perbuatan dosa lalu dia bangun dan bersuci, kemudian mengerjakan solat, dan setelah itu memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan memberikan keampunan kepadanya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Manusia tidak pernah daripada melakukan dosa dalam sehari. Seelok-eloknya ditunaikan sebelum tidur.


Jika dihitung, jumlah rakaat solat-solat sunat adalah 17 rakaat, bersamaan dengan jumlah rakaat solat-solat wajib. Tujuan ditunaikan solat-solat sunat adalah untuk 'menampal' mana-mana kecacatan yang terjadi dalam solat-solat wajib yang kita kerjakan. Umpama kain yang koyak ditampal dengan cebisan kain yang sama, begitulah juga solat yang 'cacat' akibat kelemahan dan kelalaian kita 'ditampal' dengan solat-solat sunat.

Waktu-waktu Yang Dilarang Solat

1. Habis waktu solat Subuh hingga matahari terbit.
2. Ketika matahari sedang terbit.
3. Ketika matahari tegak di atas kepala.
4. Habis waktu Asar hingga matahari terbenam.
5. Ketika matahari terbenam.

Sama-samalah kita berusaha mencari keredhaan-Nya.

Islam itu indah, indahkan hidupmu dengannya.

Wallahu'alam.

*Dipetik dan diolah daripada "Tanyalah Ustaz: Amalan Bulan Rejab" kelolaan Ustaz Zahazan siaran TV9